Monday 19 March 2012

BERGANDING BAHU MARTABATKAN BAHASA MELAYU


Semua pihak diharap dapat berganding bahu dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam apa jua perkara rasmi, kata Ketua Pengarah DBP Malaysia, Datuk Dr. Haji Awang Sariyan.

Selaku Ketua Pengarah yang baru kepada badan perancang bahasa dan persuratan utama negara ini, beliau menyeru agar para karyawan, penulis, pendidik dan sebagainya untuk menegakkan dan melaksana Dasar Bahasa Kebangsaan.

“Usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu juga  perlu didukung oleh para karyawan, penulis, pendidik dan sebagainya untuk menegakkan dan melaksanakan dasar bahasa kebangsaan baik sebagai bahasa perpaduan, sebagai asas jati diri dan citra kenegaraan mahupun bangsa menjadi lambang kedaulatan dan kekuatan bangsa dan negara kita,” katanya.

Tambahnya lagi, DBP selaku tunggak utama kepada pelaksanaan ini haruslah berfokus pada fungsi asal dan fungsi terasnya, iaitu sebagai badan perancangan bahasa dan persuratan. Apa yang lebih penting lagi, perjuangan DBP, untuk mengisi Dasar Bahasa Kebangsaan ialah dalam konteks merealisasikan ataupun mengisi erti bahasa itu sendiri.

“Adapun bahasa kebangsaan itu lebih simbolik sifatnya, asas jati diri, lambang perpaduan, asas komunikasi. Tetapi sebagai bahasa rasmi, itulah ukuran kejayaan dasar bahasa kebangsaan maksud saya apabila kita menghayati Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan. Di situ secara sah dan jelas disebut, apa itu takrif bahasa rasmi,” Katanya

Selain itu, segala soal kekalutan dalam menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan  berpunca daripada sikap pihak-pihak tertentu yang tidak melaksanakannya ekoran tidak ada penghayatan terhadap Bahasa Melayu.

“Penjawat awam itu sendiri, pegawai-pegawai kerajaan bahkan pimpinan institusi, ketua-ketua jabatan, sebilangannya tidak pun menghayati dan memahami apa itu takrif bahasa rasmi yang jelas disebut dalam perkara 152 iaitu bahasa yang hendaklah digunakan bagi semua urusan rasmi, mesyuarat, surat, memo, pekeliling, penyataan, perhimpunan, pengajaran dan sebagainya.

Beliau berharap agar para penjawat awam terutama dalam kementerian tidak meremehkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam segala urusan rasmi.

“Demikian itu dalam perkara 152 disebut, perintah-perintah penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Tidak ada satu pun kementerian yang boleh mendakwa bahawa mereka terkecuali daripada penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.”

Lantaran itu, beliau menekankan agar setiap pegawai DBP khususnya, penjawat-penjawat awam yang lain hendaklah menghayati Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan, Perkara 17 (1) Akta Pendidikan 1996 yang menetapkan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar.

Katanya lagi, “Jika kita melihat kepada fungsi DBP, pertama membina, mengembangkan bahasa kebangsaan dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi. Tidak ada tamadun yang akan bertahan atau menanjak kedudukannya kalau tidak kuat persuratan ilmunya. Oleh sebab itu peranan, fungsi DBP mestilah memastikan keseimbangan antara kemapanan persuratan kreatif dengan persuratan ilmu.”

Sehubungan dengan itu, semua pihak haruslah berkerjasama dengan DBP selaku badan bahasa dan melihat badan perancang dari negara luar seperti Perancis sebagai model kearah kebersamaan itu.
“Kedudukan badan perancang bahasa di perancis hanyalah sebuah badan persatuan organisasi NGO tetapi diberi mandat oleh kerajaan Perancis dan diikut ketetapannya oleh semua rakyat, kementerian pendidikan dan kementerian-kementerian lain. Ertinya penghormatan orang Perancis kepada bahasanya, kepada badan yang berwibawa walaupun bukan badan kerajaan itu cukup kuat berbanding dengan di negara kita meskipun ada aktanya sendiri, akta di parlimen, ada peruntukan undang-undang sebagai badan rasmi kerajaan, badan penjawat awam tetapi masih banyak lagi pihak yang tidak dapat menghormati kedudukan DBP sebagai badan yang berwibawa dalam soal bahasa.”

Daripada aspek pendidikan pula, beliau mencadangkan agar karya-karya besar yang mengandungi falsafahnya, pemikiran, sains, sosial dan sebagainya daripada pelbagai bahasa di seluruh dunia diterjemahkan dalam Bahasa Melayu. Secara tidak langsung ini membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan Institut Terjemahan Buku Negara untuk menterjemahkan karya-karya yang terdiri daripada pelbagai bahasa besar di dunia kepada Bahasa Melayu.

"Tujuannya supaya akan datang kosa ilmu dalam Bahasa Melayu tidak bergantung hanya kepada kosa ilmu dalam bahasa inggeris kerana, apabila ini terjadi, pemimpin-pemimpin kita, sarjana-sarjana kita, khususnya masyarakat beranggapan bahawa seoalah-olah satu-satunya bahasa di dunia itu adalah Bahasa Inggeris yang menjadi sumber rujukan, yang sebenarnya tidak betul.

“Oleh itu kita mesti mengambil ilmu dalam pelbagai bahasa di dunia ini dan akhirnya esok anak-anak kita yang menulis tesis, master, menulis buku, senarai rujukan itu tidak hanya menampilkan sumber daripada Bahasa Inggeris. Ketika itu saya yakin, masyarakat akan sedar kayanya ilmu dalam pelbagai bahasa ini dan ini dilakukan oleh masyarakat barat sendiri,” katanya.

Tambahnya lagi, perencanaan semula satu rekayasa supaya sistem pendidikan betul-betul  berfokus pada penggunaan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan untuk menjadi alat wasilah yang benar-benar berkesan.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog dalam majlis ‘Yang Jauh Didekatkan, Yang Dekat Dirapatkan’ bersama para karyawan dan penulis Sabah. Hadir sama Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas. 

-Utusan Borneo, 18.3.2012-

No comments:

Post a Comment