Barangkali
masih ramai yang tidak mengetahui akan kewujudan kampung Bangka-Bangka walaupun
ia terletak tidak jauh dari Pusat Bandaraya Kota Kinabalu. Bermula daripada
kawasan Paya Bakau berlumpur, kampung ini telah mengecapi pembangunan
berterusan sehingga menjadi salah sebuah perkampungan yang maju dan cantik pada
hari ini.
Kampung
Bangka-Bangka terletak dalam Mukim Likas, Daerah Kota Kinabalu, di bahagian
Residensi Pantai Barat, Sabah. Ia terletak sejauh 7 km dari pusat bandar dan
mengambil masa perjalanan di antara 15 hingga 20 minit menggunakan kenderaan
bermotor. Kampung ini mempunyai keluasan tanah seluas 30 ekar dan 8 ekar tanah
perkuburan umat Islam.
Menurut
Pengerusi JKKK, Mawi Haji Hassan, Kampung Bangka-Bangka mula dihuni penduduk
menjelang akhir tahun 1984 dengan hanya sebanyak 33 buah rumah. Kini bilangan
rumah telah bertambah menjadi 79 buah yang mana dihuni seramai 462 orang yang
terdiri daripada 86 keluarga. Majoriti penduduk yang mendiami kampung ini terdiri
daripada suku kaum Bajau dan Brunei. Oleh itu masyarakat kampung ini 100%
adalah beragama Islam.
Seterusnya,
dari segi taraf kehidupan adalah sederhana. Kebanyakan penduduk bekerja dalam
sektor swasta dan sektor kerajaan. Namun terdapat juga sebilangan kecil yang
masih menyara hidup sebagai nelayan sepenuh masa serta bekerja sendiri seperti
mengambil upah bertukang, menjahit, mekanik, berniaga runcit dan pembungkusan
makanan ringan yang dibekalkan oleh pengilang.
Pelbagai
usaha Pembangunan Luar Bandar telah dilaksanakan oleh kerajaan yang bertujuan
untuk menaikkan taraf dan keselesaan hidup masyarakat kampung. Contohnya,
kemudahan Masjid, Balai Raya, Sekolah TABIKA KEMAS, dua buah Tandas Umum,
gelanggang Sepak Takraw dan 2 buah Jeti Nelayan.
Selain
itu, kerajaan juga telah menyediakan kemudahan prasarana seperti Jalan Raya
Berturap, bekalan air bersih, bekalan Tenaga Elektrik, Talian Telekomunikasi ke
rumah penduduk dan sistem Perparitan Konkrit di sekitar Kampung.
Penempatan
Kampung Bangka-Bangka ini telah diwujudkan semasa pemerintahan Parti BERJAYA
(1976-1984). Ketika itu, KK Mansur bin Hj. Atmin telah dilantik sebagai Ketua
Kampung. Seterusnya pada era pemerintahan PBS (1985-1993), KK Anjam bin Tersad telah dilantik menjadi Ketua Kampung
yang dikekalkan sehingga di bawah pemerintahan Parti Barisan Nasional. Karim
Boulu merupakan Ketua Kampung ketiga yang baru sahaja meninggal dunia. Untuk
itu, penduduk kampung sedang dalam perbincangan untuk mencari pengganti yang
sesuai.
Asal-Usul Nama
‘Bangka-Bangka’
Nama
Kampung Bangka-Bangka diambil sempena nama asal penempatan terdahulu Kampung
ini yang terletak di tebing muara sungai, pertemuan antara Sungai Likas dengan
Sungai Inanam, berhadapan dengan Jambatan Yayasan Sabah.
Menurut
lagenda asal-usul kampung ini, oleh kerana kampung ini tidak mempunyai sumber
bekalan air suatu masa dahulu, warga Kampung terpaksa merentasi hutan belukar
untuk mengambil air di sebuah tempat
yang mempunyai sumber bekalan air bersih. Kawasan tersebut dipanggil PANSUR
yang dipercayai mempunyai Mata Air kecil yang mengalir. Dikatakan juga, di
kawasan tadahan tersebut terdapatnya dua
buah batu besar berganding, rata dan agak licin.
Pada
suatu hari, seorang wanita dikatakan telah pergi ke tempat tadahan air tersebut
untuk mendapatkan bekalan air. Wanita tersebut berdiri di atas batu sambil
mengisi air ke dalam bekas yang diperbuat daripada bambu sehingga penuh.
Apabila penuh, dia pun cuba untuk mengangkat bekas tersebut tetapi agak berat
dan apabila ia mencuba sekali lagi, tiba-tiba kakinya tergelincir dari atas batu besar tersebut dan menyebabkan
kedua belah kakinya “TERKANGKANG”.
Kejadian
ini telah sampai ke pengetahuan Ketua Kampung dan sejak itu, Ketua Kampung
mengambil keputusan untuk menamakan Kampung dengan nama Kampung
Bangkang-Bangkang di mana secara kebetulan kampung ini masih belum memiliki
nama. Namun nama tersebut tidak kekal lama dan ditukar kepada nama Kampung
Bangka-Bangka yang mempunyai lebih pengertian dan makna, tidak seperti
Bangkang-Bangkang yang bermaksud sesuatu perbuatan yang tidak sopan dalam pengertian
Bahasa Bajau tempatan.
Perubahan
nama kepada Kampung Bangka-Bangka amat sesuai ketika itu kerana Bangka
adalah sejenis perahu kecil atau sampan
yang merupakan mekanisme perhubungan di antara kampung dengan tanah besar
Likas. Selain alasan tersebut, terdapat banyak ikan dari jenis ‘Ikan Bengka’
menghuni perairan kawasan penempatan kampung.
Misteri Pokok Indat
‘Kalau
ada orang meninggal dunia, malamnya pokok itu akan terdengar seperti patah,
rebah seolah-olah memberi khabar. Esoknya pasti ada orang yang meninggal
dunia.’
Begitulah
persepsi penduduk kampung terhadap pokok yang tidak diketahui namanya dan hanya
digelar ‘Indat’ oleh mereka. Terletak di atas bukit dalam kampung
Bangka-Bangka, pokok misteri tersebut dikatakan telahpun berusia ratusan tahun.
Penulis
difahamkan bahawa pokok tersebut asalnya dijadikan nisan kepada kuburan lama
yang terdapat di bawahnya. Kuburan berkenaan tidak diketahui milik siapa dan
siapa pewarisnya. Apa yang dapat dipastikan ialah kubur yang bersaiz agak besar
sehingga mencapai 7 depa lebar dadanya itu dikatakan kepunyaan dua beradik dan
juga berusia ratusan tahun.
Pernah
terjadi terdapatnya pihak yang tidak bertanggungjawab bertindak menggali kubur
gergasi tersebut kerana berpendapat ada harta karun di dalamnya. Tidak hairanlah
juga kalau ada yang beranggapan bahawa pokok itu mempunyai unsur ‘kekeramatan.’
Ini amat dikesali oleh penduduk kampung.
“Pokok
itu telah beberapa kali dipanah petir, tapi tetap tidak mati. Sekarang daunnya
sudah tiada tapi masih lagi berdiri teguh,” Kata Jalaludin Elik, 48, salah
seorang penduduk kampung Bangka-Bangka.
Sudah
beberapa kali pokok tinggi itu mahu ditebang, namun para nelayan (pelaut)
melarangnya kerana ia dapat dijadikan sebagai tanda seperti rumah api untuk
mereka mencari arah semasa berada di laut.
Difahamkan
lagi, apabila ada usaha menebang mahu dilakukan terhadap pokok itu, individu
yang dipertanggungjawab melaksanakan tugas itu akan jatuh sakit.
Walau
apapun kisah di sebalik pokok misteri itu, yang pasti, Pokok Indat telah menjadi
mercu tanda kepada kampung Bangka-Bangka secara tidak langsung.
Kampung Yang Aktif
Sesuai
dengan wawasan kampung ini iaitu ‘Bersatu Maju, Bersih, Indah, Selamat’
pelbagai aktiviti yang melibatkan penduduk dijalankan bagi mencapai
matlamatnya.
Penglibatan
penduduk kampung dalam pelbagai program cukup membanggakan. Ini terbukti
apabila pernah merangkul beberapa kejuaraan seperti naib johan dalam
pertandingan nasyid Pantai Barat Sabah melalui kumpulan nasyid ‘Suara Murni,’
naib johan dalam pertandingan seni lakon seluruh Sabah, mendapat tempat kedua
dan ketiga untuk Pendayung Perahu Naga selama tujuh tahun berturut-turut dalam
Pesta Sabah Dragon Boat dan banyak lagi.
kampung
ini juga pernah beberapa kali menjadi johan dan naib johan dari segi kebersihan
bagi program Gerakan Desa Wawasan.
Bukan
itu sahaja, malah semangat kekitaan jelas tersemai dalam kalangan anggota masyarakat
dengan menjalankan aktiviti gotong royong mahupun dalam apa jua aktiviti lain
yang dijalankan seperti membersihkan kubur dan kampung.
Begitulah
Kampung Bangka-Bangka yang dahulunya terpencil dan kini telah berubah rupa
serta kedudukannya sesuai dengan arus pembangunan semasa. Malah Kampung
Bangka-Bangka kini berada setaraf dengan Kampung-Kampung lain dan akan kekal menjadi
sebuah ‘Kampung Dalam Bandar’ menjelang tahun 2020.
MAWI
JALALUDDIN
POKOK INDAT
BALAI RAYA
MASJID
TADIKA
JETI NELAYAN
Kampung aku ni.. Terima kasih.
ReplyDelete