Sunday 8 April 2012

Apreasiasi Seni Serlahkan Bakat Peserta




Walaupun hanya diterangi cahaya lilin, ia tidak sedikitpun mematahkan semangat para peserta untuk memberikan persembahan yang terbaik pada malam Apresiasi Seni di Dewan Hone, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent Tuaran baru-baru ini.

Program yang bermula tepat pukul 8.00 malam itu berjalan dengan lancar di mana lima persembahan daripada para pelajar Sekolah Pengajian Seni (SPS) Universiti Malaysia Sabah dan IPG Kent telah berlangsung sebelum dikejutkan dengan ketiadaan bekalan elektrik secara tiba-tiba.

Disebabkan itu, persembahan terpaksa dihentikan hampir 20 minit. Oleh kerana tidak mahu membuang masa, para peserta mengambil keputusan untuk memasang lilin di atas pentas bagi meneruskan persembahan pada malam itu.

Apresiasi Seni anjuran Jabatan Pengajian Melayu  IPG Kent Tuaran dengan kerjasama SPS, UMS itu mendapat sambutan yang menggalakkan apabila telah dihadiri oleh kira-kira 90 orang pelajar daripada kedua-dua institusi pengajian.

Pelbagai persembahan diadakan seperti bacaan sajak jenaka (SAJEN) oleh Puad Bebit (Pensyarah UMS), deklamasi puisi oleh Khalid Salleh (Aktivis Teater Malaysia), serta persembahan khas daripada para pelajar SPS dan IPG Kent.

Tidak ketinggalan juga persembahan daripada pensyarah IPG Kent sendiri yang memeriahkan lagi malam Apresiasi Seni itu dengan bacaan puisi, lakonan dan nyanyian yang sarat dengan teguran, sindiran, didikan, dan falsafah ditampilkan oleh para peserta.

Ini bersesuaian sekali dengan matlamat utama Apresiasi Seni ini diadakan iaitu untuk membentuk kehalusan jiwa demi mewujudkan insan yang seimbang.

Selain itu, ia juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan Negara yang berhasrat agar generasi kini mengenali, menghargai dan menghayati kesenian warisan budaya dan menampilkan jati diri bangsa.

Apresiasi Seni ini merupakan kesinambungan daripada bengkel Tips Bengkel Asas Lakon yang telah diadakan pada petangnya oleh Khalid Salleh dan Puad Bebit selaku penceramah.

Menurut Razali Mohd Shukor, Pensyarah Bahasa Melayu IPG Kampus Kent, bengkel ini bukan sahaja dianjurkan untuk memberikan ilmu dan pengalaman kepada para peserta tentang lakonan dan puisi bahkan juga mampu untuk meningkatkan kemahiran berbahasa di samping mencungkil bakat para peserta dalam bidang ini.

“Salah satu aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran ialah aktiviti lakonan dan Apresiasi Seni.

“Lakonan dan puisi jika diselitkan dalam pengajaran dan pembelajaran memberikan banyak manfaat bukan sahaja kepada guru bahkan juga kepada murid-murid.

“Dengan itu, Jabatan Pengajian Melayu berhasrat untuk menganjurkan Bengkel Lakonan dan Apresiasi Seni peringkat IPG Kampus Kent,” Katanya lagi.
 SPS,UMS
 IPG KENT
 SAJEN-SIFU ART
 KHALID SALLEH
 LIZA,SPS
 RAZALI (KANAN)
IPG

No comments:

Post a Comment