Apakah
itu Cerita Jenaka? Menurut James Danandjaja (1984: 117), cerita jenaka adalah
kelompok cerita dongeng yang dapat menimbulkan rasa menggelikan hati, sehingga
menimbulkan ketawa bagi yang mendengarnya mahupun yang menceritakannya.
Pelbagai unsur humor terkandung dalam cerita jenaka samada melalui sifat watak
cerita, dialog yang digunakan, dan banyak lagi unsur lain yang mempengaruhi.
Dusun
Kimaragang merupakan salah satu suku kaum yang terdapat di negeri Sabah.
Seperti masyarakat lain, masyarakat ini juga menyimpan pelbagai warisan
tradisional sastera rakyat seperti cerita jenaka. Menurut Harun Mat Piah (2003:
3), sastera rakyat ialah hasil sastera milik sesuatu kumpulan masyarakat yang
diperturunkan daripada satu generasi ke satu generasi yang lain secara lisan.
Oleh sebab sifatnya yang lisan ini, sastera rakyat juga dikenali sebagai
‘sastera lisan’.
Demikianlah
cerita jenaka yang merupakan sastera rakyat, disampaikan secara lisan dan wujud
dalam masyarakat ini sejak dahulu lagi iaitu sebelum mengenal huruf. Tidak
diketahui siapakah penciptanya dan sudah dianggap menjadi milik bersama anggota
masyarakatnya.
Terdapat
juga cerita jenaka yang mempunyai persamaan dengan cerita rakyat bangsa lain
seperti cerita Abu Nawas. Hal ini sebenarnya menunjukkan bahawa sastera rakyat
itu bersifat sejagat. Walaubagaimanapun, masyarakat Dusun Kimaragang tetap
mengekalkan ciri budaya dan latar masyarakatnya dalam cerita jenaka tersebut.
Menerusi
analisis daripada aspek motif yang dilakukan dalam kajian ilmiah; ‘Kajian Motif
Dalam Cerita Jenaka Masyarakat Dusun Kimaragang, Kota Marudu, Sabah,’ penulis
mendapati bahawa cerita jenaka Dusun Kimaragang memainkan peranan yang penting
serta fungsi yang besar kepada masyarakatnya. Cerita jenaka bukan sahaja
memberikan unsur-unsur pengajaran malahan mengandungi nilai-nilai moral secara
langsung atau tidak langsung.
Sebagai
contoh, motif lucah yang terdapat dalam kebanyakan cerita jenaka suku kaum ini
adalah untuk dijadikan pengajaran dan bukannya untuk dicontohi oleh
masyarakatnya. Perbuatan seperti merogol, menipu, dan memperbodohkan orang
bukanlah satu sikap yang baik dan wajar dijauhi. Malahan pemaparan sikap-sikap
negatif melalui watak cerita ini merupakan sindiran secara halus kepada
golongan tertentu agar mereka sedar serta mengambil iktibar.
Berdasarkan
koleksi cerita jenaka yang telah dikumpul juga, pengetahuan penulis tentang
ruang lingkup budaya suku kaum ini semakin bertambah. Tidak dapat dinafikan,
bahawa budaya sesuatu bangsa itu dapat dilihat melalui sastera rakyat mahupun
hasil prosa yang mereka miliki.
Budaya
masyarakat Dusun Kimaragang digambarkan melalui cerita jenakanya seperti hormat
menghormati, tolong menolong dan lain-lain. Selain itu, sifat keterbukaan
masyarakatnya menjadi asas pemikiran untuk menjadi satu bangsa yang maju dan
mampu berdaya saing dengan bangsa lain.
Walaupun
cerita jenaka suku kaum ini ada yang berunsur lucah, tetapi mereka sentiasa
memandangnya daripada perspektif yang positif. Ini kerana cerita ini secara
tidak langsung menyentuh tentang masalah sosial masyarakat pada masa kini
khususnya golongan muda. Justeru, cerita jenaka ini masih relevan dengan
situasi kehidupan sosial dan budaya masyarakat kini.
Namun
begitu, akibat daripada peredaran masa, cerita jenaka yang dimiliki oleh
masyarakat Dusun Kimaragang semakin kurang dituturkan oleh masyarakat
pemiliknya. Penulis melihat keadaan ini sebagai satu perkara yang amat serius
dan membimbangkan. Minat di kalangan orang muda terutamanya kanak-kanak untuk
mendengar cerita dituturkan sudah berkurangan.
Mereka
tidak lagi ambil kisah terhadap sastera warisan yang mereka miliki ini.
Kesedaran untuk memelihara sastera rakyat mereka dalam kalangan masyarakatnya
amat tipis. Hanya segelintir sahaja yang masih mengamalkan penuturan cerita
jenaka dalam kehidupan seharian. Itupun hanya golongan yang sudah berumur.
Cerita
jenaka Dusun Kimaragang sememangnya unik dan mempunyai cirinya yang tersendiri
dalam menghiburkan pendengar. Unsur kejenakaan disampaikan dalam pelbagai cara
oleh si penutur. Sebagai contoh, kehebatan alunan suara si penutur cerita
semasa bercerita menambahkan lagi unsur humor di dalam sesuatu cerita tersebut.
Dalam cerita jenaka suku kaum ini, terdapatnya perkataan atau ayat yang perlu
dilafazkan oleh penutur cerita melalui improvisasinya yang tersendiri agar rasa
lucu tersebut lebih menyerlah.
Pada
masa dulu, teknologi seperti televisyen, telefon bimbit dan sebagainya tidak
ada. Namun pada masa sekarang, walaupun adanya teknologi, cerita jenaka ini
masih berperanan sebagai medium hiburan, merapatkan perhubungan, mengukuhkan
tali persaudaraan dan mewujudkan perasaan saling sayang-menyayangi.
Tidak
mungkin seseorang itu marah sekiranya jiwanya penuh dengan kejenakaan apabila
mendengar cerita-cerita jenaka. Sebenarnya, cerita jenaka amat penting sebagai
satu medium untuk merapatkan hubungan sesama kelompok. Unsur-unsur jenaka yang
terkandung dalam ceritanya dapat mewujudkan rasa kekitaan, mengelakkan rasa
dendam dan benci kerana dalam hidup ini selagi ada rasa kasih dan sayang,
selagi itulah kita akan hidup dalam keadaan aman, damai dan tenteram.
Inilah
peranan cerita jenaka iaitu mengakrabkan hubungan dan mewujudkan suasana
harmoni tanpa rasa benci dan marah. Justeru, kita tidak sepatutnya
membiarkan sastera warisan kita ini hilang begitu sahaja. Segala bentuk
pemeliharaan terhadap sastera warisan ini haruslah dijalankan dan disokong oleh
semua pihak.
-Utusan Borneo, 1 April 2012-
No comments:
Post a Comment