Sunday, 28 October 2012

SENI UKIRAN PARANG TAMBUNAN



Teknik Moden Berkonsepkan 1 Malaysia

Di Sabah, sebut sahaja ‘parang’ sudah pasti kita akan mengaitkannya dengan daerah Kota Belud yang begitu terkenal sekali dengan seni ukiran parangnya yang mana memiliki kehalusan dan keunikan tersendiri sejak dahulu lagi.

Seni pembuatan parang begitu sinonim sekali dengan daerah ini, sehinggakan menjadi sebutan dan begitu dikenali bukan sahaja di sini malahan cukup terkenal hingga ke semenanjung Malaysia.

Namun, sebenarnya masih terdapat beberapa buah tempat lagi di Sabah yang memiliki kemahiran dalam pembuatan sarung parang berukir yang juga tidak kurang hebat hasilnya. Salah satunya ialah Kg. Nukakatan yang terletak di daerah Tambunan.

Menurut salah seorang pengusaha parang berukir yang berasal dari kampung ini, Arifudin Molusin, 31, sejak dari tahun 1920 lagi seni pembuatan parang sudah wujud di kampung ini.
“Sebelum kedatangan Jepun, pembuatan parang menjadi punca pendapatan bagi masyarakat di Kg Nukakatan,” Katanya sambil tersenyum.

Dia yang ditemui ketika Promosi Kraf Malaysia 2012, menyatakan kemahiran membuat parang ini diwarisi daripada ayahnya sendiri secara turun temurun sejak dari zaman nenek moyangnya lagi.

“Dulu, masa balik dari sekolah terus sahaja membantu ayah buat parang dan ketika berumur 15 tahun, saya sudah pandai membuat parang sendiri,” Katanya.

Sungguhpun begitu, Arifudin lebih gemar mengaplikasikan teknik ukiran moden dengan melakukan pembaharuan dalam setiap corak yang digunakannya.

Justeru, atas minat serta mahu menambahkan lagi ilmu pengetahuannya terhadap seni ukiran parang, pada tahun 2002 dia berkesempatan mengikuti satu kursus anjuran Kementerian Pembangunan Luar Daerah (KPLD) yang mana mengajar teknik ukiran Semporna.

Dari situ, Arifudin terus menghasilkan sarung parang berukir menggunakan teknik ukiran ‘Timbul Semporna’ yang merupakan teknik moden untuk setiap tempahan yang diterima.

Pada tahun 2012 pula, dia mengikuti satu lagi kursus yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia selama lima hari di kampungnya sendiri dan berpeluang mempelajari teknik ukiran parang Kota Belud.
Teknik Ukiran
Pada dasarnya, teknik ukiran parang terbahagi kepada dua jenis iaitu Ukiran Timbul dan Ukiran Halus.

Untuk ukiran pada sarung parang, alatan yang digunakan hanyalah pisau yang digelar ‘Pais’manakala untuk membuat logamnya pula menggunakan pahat besi yang dibuat sendiri, gren, tukul dan beberapa lagi peralatan sampingan.

“Sekarang buat pakai besi yang dikenali sebagai ‘Landas.’ Pada waktu dulu, Landas yang digunakan bukannya besi tetapi batu gunung,” Katanya.

Selain itu, antara kayu yang biasa digunakannya untuk membuat sarung parang ialah Kayu Damar yang merupakan kayu lembut dan bagi kayu keras pula, menggunakan sejenis kayu iras kayu malam jenis hutan sejuk. 

Boleh dikatakan, teknik ukiran yang seringkali digunakan oleh Arifudin banyak terpengaruh dengan ukiran sedia ada seperti, ukiran Keningau, Sarawak, Andalusia, Semporna dan Kota Belud.

Sungguhpun begitu, dia telah menggarapnya secara kreatif di mana tidak mengikuti bulat-bulat setiap ukiran tersebut tetapi mengubah mengikut imaginasinya.

“Kalau saya ikut teknik ukiran parang Kota Belud atau Semporna, orang akan cakap saya tidak ada identiti sendiri dan tidak ada beza dengan ukiran parang di sana.

“Ukiran-ukiran yang saya buat merupakan hasil imaginasi saya terhadap kesemua ukiran yang saya pernah lihat. Misalnya, saya pernah tengok ukiran dalam Tamadun Andalusia yang terdapat di masjid-masjidnya.

“Jadi saya fikir-fikir dan cuba campurkan kesemua ukiran yang sedia ada dalam satu parang. Saya suka gunakan ukiran penuh sebab saya boleh letak di mana-mana sahaja ukiran yang mewakili budaya yang dipilih,” Katanya.

Disebabkan ukiran yang digunakan agak berlainan sedikit coraknya daripada biasa, ramai yang bertanya akan nama ukiran tersebut.

“Orang yang melihat parang saya, mereka akan bertanya apa nama ukiran tersebut. Setelah melihat dan berfikir, saya mengambil keputusan untuk menggelarkannya sebagai ukiran Satu Malaysia,” Katanya.

Selain itu, Arifudin juga mengakui bahawa dia banyak terpengaruh dengan teknik ukiran yang dihasilkan oleh pengukir terkenal tanah air iaitu Tok Wan.

“Saya lihat ukiran Tok Wan di kaca TV manakala bagi pengaruh Andalusia pula saya lihat dalam gambar-gambar sahaja. Dari situ, saya cuba ubah dan gunakannya sesuai dengan kemahiran saya,” Katanya.

Untuk ukiran pada logam pula, teknik ukiran Semporna yang dikenali sebagai Bunga Belanda digunakan oleh Arifudin.

Menurutnya lagi, ukiran pada sarung parang boleh disiapkan dalam masa satu hari sampailah kepada kemasan. Kalau rumit sedikit, memakan masa tiga hingga empat hari.

Hampir kesemua ukiran yang digunakannya merupakan hasil imaginasinya sendiri terhadap unsur flora dan fauna kawasan persekitaran kampung yang masih diliputi hutan.


KERJAYA PENGUSAHA PARANG
“Masa dulu, setiap rumah harus memiliki sebilah parang dan perlu dipelihara namun sekarang ia sudah tidak diamalkan lagi, melainkan hanya dibuat hiasan ataupun untuk kegunaan harian,” Menurut Arifudin.

Penulis juga difahamkan, di daerah tambunan boleh dikatakan 100 peratus punca pendapatan ialah melalui pembuatan parang terutamanya di Kg. Nukakatan dan Kg. Libang

“Biasanya Mereka yang tinggal di kampung sahaja yang serius membuat parang dan, yang menariknya ada juga pengusaha daripada kalangan perempuan yang begitu mahir sekali membuat parang dari A hingga Z,” Katanya.

Dari segi harga pula, bagi parang yang berukir, harga minimum yang ditawarkan ialah RM100. Manakala sekiranya ditempah, harganya mencecah RM700 ke atas.

Bagi yang ingin menempah, mereka diberi pilihan untuk memilih jenis kayu samada mahu kayu keras ataupun kayu lembut. Kayu keras lagi mahal harganya.

“Harga untuk sarung parang yang menggunakan ukiran timbul agak mahal sedikit berbanding ukiran halus disebabkan kerumitan untuk membuatnya.

“Pendapatan tidak menentu, Secara puratanya, hanya RM500 sebulan dan paling tinggi ialah RM2500 sebulan,” Katanya.

Kemahiran mengukir yang dimiliki Arifudin membolehkannya menghasilkan pelbagai lagi ukiran untuk dijadikan perhiasan dan cenderahati selain daripada Parang Berukir.



Utusan Borneo KK, Julai 2012.

No comments:

Post a Comment