Thursday 5 April 2012

Chef Johan Angkat Nama Malaysia


Namanya mungkin tidak begitu dikenali di Malaysia, namun beliau cukup terkenal di luar negara sebagai seorang Chef. Sikap putus asa tidak pernah tercatat dalam kamus hidupnya. Beliau sentiasa mencari ruang dan peluang dalam membina kerjayanya sebagai seorang Chef sehingga mengecapi kejayaan seperti hari ini. Itulah dia Chef Johan Bin Sinam yang berasal dari daerah Kudat Sabah. Beliau dilahirkan pada tahun 1956 dan berketurunan Rungus.


Anak jati Sabah ini memulakan langkah kanan dengan berkerja di Kudat Golf dan Marina Resort yang merupakan sebahagian saksi permulaan episop kerjayanya. Perlahan-lahan, beliau mula mencipta nama dan tidak menanti peluang bergolek sebaliknya sentiasa merebut peluang yang ada. 

Penglibatan beliau dalam dunia masakan semakin terserlah apabila telah diundang untuk menjayakan rancangan ‘Untukmu Wanita’ yang merupakan slot masakan program Radio Televisyen Malaysia (RTM). Seterusnya, penghijrahan beliau ke Semenanjung Malaysia telah mengembangkan lagi kerjayanya.

Berkat kegigihannya selama ini, beliau sudah mampu tersenyum apabila memiliki sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Chef Johan berperanan sebagai penasihat dapur bersama anaknya, Chef Celementino Johan. Bukan itu sahaja, malah syarikat ini mendapat banyak tawaran sebagai perunding makanan, penceramah undangan dan penceramah jemputan dalam sektor makanan di dalam dan luar negara.

Disebabkan itu, beliau telah diberikan penghargaan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia sebagai Selebriti Chef yang mewakili Malaysia semasa mengadakan promosi makanan dan kebudayaan di luar negara.

Di kesempatan itu juga, beliau berpeluang mendekati golongan kenamaan serta kerabat Diraja, antaranya Sultan Mizan Zainal Abidin dan bekas Perdana Menteri Thailand.

Beliau telah diberi kepercayaan menyediakan makanan untuk golongan kenamaan dan pembesar negara. Ini bukanlah satu tugas yang mudah dan bukan calang-calang orang diberikan peluang sebegini. Peluang untuk menyediakan makanan untuk pembesar dan Sultan boleh dikatakan satu dalam seribu. Baginya, bukan semua orang boleh mendapat peluang seumpama itu dan ia merupakan satu penghormatan yang besar bagi seseorang individu itu.

Pengalaman Chef Johan dalam penyediaan makanan menjadikan beliau semakin kaya dengan ilmu masakan, resepi dan menu serta banyak lagi. Walaupun jadual kerjayanya yang cukup padat, beliau masih sempat meluangkan masa untuk menghasilkan beberapa buah buku resepi. ‘Hidangan Makanan Laut’ merupakan buku hasil karyanya yang pertama. Buku ini memuatkan 48 jenis masakan laut seperti udang, sotong, kerang, ketam dan ikan. Dengan adanya buku ini, bakat dan ilmu yang beliau miliki akan tidak hilang begitu sahaja malah dapat dimanfaatkan oleh generasi yang akan datang. 

Walaupun popularitinya tidak sehebat chef lain seperti Chef Wan yang begitu terkenal di negara ini, namun beliau cukup bangga kerana dikenali di luar negara sebagai anak jati Malaysia. Di kalangan petugas kedutaan pula, beliau lebih dikenali sebagai ‘Chef Raja’.

Beliau bukan sahaja mempromosikan makanan semata-mata bahkan turut mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang terbaik di mata dunia. Baru-baru ini beliau telah terpilih untuk mewakili Malaysia dalam Festival Du Livre Culinaire yang berlangsung di Paris, Perancis. 

Penglibatan Chef Johan dalam bidang masakan nyata tidak sia-sia kerana beliau telah pun mengangkat nama Malaysia di seluruh dunia. Jasa dan sumbangan beliau wajar dicontohi oleh generasi kini mahupun yang akan datang. Sememangnya, tidak ada yang mustahil untuk dikecapi dalam hidup ini seandainya punya minat dan usaha bak kata pepatah, ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.’  



-Utusan Borneo, 30 mac 2012-

1 comment: