Oleh MOHD NURAZWAN AUGUSTINE
Mahrajan Persuratan dan kesenian Islam Nusantara yang berlangsung pada 8 hingga 11 Februari telah pun melabuhkan tirainya dilihat mampu memperkasa ukhuwah Islamiyah. Acara penutupan dan persembahan kesenian Islam yang diadakan di Dewan Sri Pimping, Membakut, mendapat sambutan yang amat luar biasa daripada penduduk kampung. Kehadiran para peserta pada sekitar pukul 8.30 malam disambut meriah dengan keadaan dewan yang telah dibanjiri oleh orang ramai sejak awal lagi.
Malam penutupan tersebut telah dirasmikan oleh Datuk Haji Mohd. Arifin Haji Mohd. Arif yang juga merupakan ADUN N. 24 Membakut merangkap pengerusi SEDCO.
Beliau berharap agar Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara yang julung kali diadakan ini dapat memperkasa ilmu serta memartabatkan agama Islam. Tambahnya, apa yang penting ialah ukhuwah di kalangan umat Islam dapat diperkasakan lagi. Beliau juga turut mengumumkan untuk menubuhkan Yayasan Ilmu yang akan membantu untuk memastikan hasil kesenian serta budaya di kampung tersebut dapat dipelihara, Sekretariat Mahrajan yang berfungsi untuk memastikan agar Mahrajan ini akan terus berlangsung pada masa akan datang, dan merancang untuk mengadakan jelajah di seluruh negeri Sabah bersama para peserta yang dikenali sebagai ‘Jelajah Mahrajan.’
Antara tokoh-tokoh penulis terkenal yang hadir ialah Hasyuda Abadi, Habiburrahman El- Shirazy, Jasni Matlani, Ramli Jusoh, Salmi Mesra, dan banyak lagi.
Bagi Zanariah Binti Mohd. Zainin, 24, dia amat berbangga apabila dapat bersua muka dengan para penulis dalam mahupun luar negara dan berharap ianya dapat diteruskan. “Saya merasa bangga dan terharu sebab dapat melihat penulis yang hebat dari luar negara kerana sebelum ini tidak pernah,” katanya selaku penduduk Kampung Pimping.
Irfan Fitri Zainal Abidin, 31, pula yang mewakili BAHASA Keningau, berpendapat Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara dapat mewujudkan ukhuwah di kalangan negara nusantara.
“Acara seperti ini sebenarnya dapat mewujudkan ukhwah di negara-negara nusantara. Kalau boleh, pihak penganjur dapat mencari satu alternatif sebagai daya tarikan kepada para pelapis untuk bersama-sama menyemarakkan dunia sastera,” katanya selaku penulis baharu.
Bagi peserta dari Singapura pula, Nur Herman Maryuti 37, ini merupakan satu permulaan yang sangat baik dan berharap ia akan diteruskan serta dapat diperbaiki kekurangannya.
Pelbagai persembahan kesenian Islam dipersembahkan oleh peserta dan penduduk Kampung sendiri. Antara persembahan yang disajikan ialah, persembahan Kompang Kg. Pimping, persembahan Nasyid Kg. Pimping, persembahan Gambus Kg. Pimping, persembahan Badundang Kg. Pimping, deklamasi puisi oleh Hasyuda Abadi, persembahan deklamasi puisi negara peserta (Brunei DS), persembahan khas Habiburrahman El – Shirazy (Indonesia), persembahan khas peserta dari Singapura iaitu Nur Herman Maryuti dan Thailand,Phaosan Jehwae dan Muhamad Lateh,persembahan Kumpulan Kesenian LASQI Aceh, Indonesia yang menarik perhatian. Majlis berakhir kira-kira pukul 11 malam.
Sebelum itu, pada siangnya peserta telah mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah yang terdapat di daerah ini. Lima buah sekolah yang telah dipilih iaitu SMK Membakut 1, SMK Membakut 2, SMK St. Patrick Membakut, SMK Bongawan, dan Sekolah Menengah Beaufort 3.
-Utusan Borneo, 12.2.2012-
No comments:
Post a Comment