Thursday, 15 March 2012

Mengimbas Semula Mahrajan


Oleh MOHD NURAZWAN AUGUSTINE
Bahang kehangatan Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara yang telah berlangsung pada 8 hinggas 11 Februari 2012, bertempat di Eko Lake Resort, Membakut, mungkin masih segar terasa di kalangan peserta mahupun masyarakat di daerah Membakut khususnya. Sesuai dengan temanya ‘Transformasi Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara,’ pelbagai kegiatan ilmiah dijalankan terutamanya pembentangan kertas kerja dan forum sastera Islam  daripada beberapa orang peserta dalam dan luar negara.
Lebih menarik lagi, program ini padat dengan  aktiviti seperti ziarah sastera dan kesenian ke sekolah-sekolah terpilih, acara pementasan dan persembahan kesenian Islam Nusantara, Penyampaian Hadiah Cerpen SEDCO-BAHASA dan NEW SABAH TIMES ke-3, dan juga penyampaian anugerah persuratan dan kesenian Islam Nusantara kepada dua tokoh yang memberi sumbangan besar kepada perkembangan persuratan dan kesenian Islam di negara masing-masing dan wilayah Nusantara amnya. Namun begitu, adakah program ini telah berjaya mencapai objektifnya?
Memang tidak dinafikan, program ini berjaya menghimpunkan ramai tokoh-tokoh dan pengkaji Persuratan dan Kesenian Islam di seluruh Malaysia dan serantau iaitu lebih kurang 250 orang peserta.
Program ini secara tidak langsung menjadi pentas pertemuan yang sangat bagus sekaligus berupaya mewujudkan jalinan ukhuwah Islamiyah seperti yang diharapkan. Selain itu, penglibatan penulis baru dalam program ini juga walaupun agak kurang telah memberikan pendedahan yang sangat berguna kepada mereka.
Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara yang julung-julung kali diadakan ini amat membanggakan apalagi ianya telah diadakan di daerah Membakut, Sabah. Usaha untuk menjadikan daerah Membakut sebagai dataran budaya dan ilmu bukan saja di rantau ini malah di rantau nusantara dilihat amat tepat dengan sambutan serta sokongan yang begitu memberangsangkan daripada peserta mahupun masyarakat setempat.
 Selain itu acara ini juga dapat menjadi satu daya tarikan baru kepada daerah ini. Usaha untuk merealisasikan program ini dilihat sebagai  satu usaha yang serius dilakukan oleh pihak penganjur yang bertujuan untuk memartabat dan menyemarakkan lagi kegiatan Persuratan dan kesenian Islam Nusantara.
Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara ini juga diadakan atas kesedaran bahawa persuratan dan kesenian Islam juga memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan nilai jati diri bangsa, menyerlahkan nilai-nilai murni sesuai dengan tuntutan Islam, seterusnya memperkukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini, khasnya dan di peringkat serantau amnya.  Menyentuh tentang latar belakang dan tujuan program ini, ia dilihat satu usaha murni kearah meningkatkan kesedaran terhadap peri pentingnya persuratan dan kesenian Islam.
Jutaan penghargaan haruslah diberikan kepada Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd. Ariff yang menjadi tunggak utama sehingga tercapainya hasrat untuk merealisasikan program ini di daerah Membakut. Kehadiran para peserta dari dalam dan luar negara sememangnya telah memberikan kesegaran minda dan emosi bagi memperkasakan lagi persuratan dan kesenian Islam di negara ini dan malah di peringkat nusantara seperti yang beliau harapkan.
Penyertaan yang ramai daripada peserta dalam dan luar negara membuktikan bahawa program ini merupakan satu program amat menarik untuk dilaksanakan. Justeru, perkongsian ilmu dan budaya melalui program ini juga dilihat sebagai agenda yang penting dalam mencapai objektifnya untuk mengangkat mutu dan nilai persuratan dan kesenian Islam ke tahap lebih tinggi dan berwibawa.
Ini jelas dirasai dengan adanya sesi pembentangan kertas kerja serta forum sastera Islam daripada kalangan peserta yang telah memberikan satu pengetahuan baru seterusnya menggalakkan lagi percambahan ilmu. Program sebegini sememangnya memberikan manfaat yang besar kepada para peserta yang hadir untuk sama-sama mendalami nilai persuratan dan kesenian Islam yang sebenar-benarnya.     
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai objektifnya. Mahrajan ini merupakan satu kegiatan yang seharusnya diteruskan pada masa akan datang sebagai satu jambatan ilmu  kearah pembinaan satu hala tuju persuratan dan kesenian Islam yang lebih baik, sesuai dengan harapan perlaksanaan program ini mengangkat persuratan dan kesenian ke tahap yang tertinggi.
Program ini juga diharapkan dapat menjadi perintis kepada kegiatan seumpanya yang lebih besar pada masa hadapan dan seterusnya memperkukuhkan jalinan ukhuwah antara aktivis seni dan penggiat persuratan Islam di wilayah Nusantara.

-Utusan Borneo, 19.2.2012-

No comments:

Post a Comment