Tidak dapat dinafikan, sajak sememangnya mampu memberi pelbagai impak kepada khalayak pembaca melalui isi kandungannya sama ada berunsur keagamaan, kesedihan, puja-puji, pengajaran, sindiran, percintaan, pengisahan dan bermacam lagi. Antologi ‘Sajak Pendosa’ menghimpunkan 79 buah sajak yang berunsur ketuhanan. Buku terbitan Sekolah Pengajian Seni, UMS ini menggabungkan karya penulis baru dan penulis yang telah lama berkecimpung dalam penulisan sajak. Melihat sahaja kepada judul yang dipilih untuk buku antologi ini, tentu akan menimbulkan pelbagai tafsiran. Kenapa buku antologi ini menggunapakai tajuk ‘Sajak Pendosa?’ Memetik sedikit kata-kata Lokman Abdul Samad yang merupakan penyelenggara buku antologi ini dalam mukadimahnya sudah jelas memperlihatkan sebab atas pemilihan judulnya; “...Dosa adalah salah satu rantai rohani yang membelenggu manusia. Apakah ada insan suci yang tidak pernah berbuat dosa? Benar setiap jiwa pasti ada berbuat dosa. Tapi berapa ramai yang percaya bahawa tanpa dosa kita tidak akan kenal ampunan Yang Maha Esa...Terima kasih dosa tanpamu aku tidak mengenal Tuhanku.”
Sehubungan dengan itu, sajak pendosa terhasil atas rasa berdosa penulis yang ingin kembali suci menemui Khalik-Nya. Selain itu, buku ini dihasilkan bagi menimbulkan kesedaran kepada mereka yang selama ini merasakan diri suci tanpa dosa. Ramai manusia masa kini yang berada dalam dunia ilusi mereka sendiri, suka menyalahkan orang lain tetapi tidak pernah sedar akan salah diri sendiri. Pernahkah kita menuding jari kepada diri sendiri dengan mengaku kesalahan yang dilakukan? Apabila kita menelusuri antologi sajak ini, sebenarnya ia tertumpu kepada diri sendiri. Hasil daripada satu himpunan perasaan penuh pengharapan padaNya maka sebuah karya seperti ini berjaya dihasilkan daripada manusia luhur yang jujur mahu mengaku sebagai pendosa, hanya mengharapkan rahmat Tuhan yang Maha Esa.
Menyingkap sejenak puisi Pendosa Luhur yang dinukilkan oleh Don, jelas memaparkan perasaan penulis yang merasa diri penuh dosa. Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Sesiapa yang mengaku dirinya suci, bersih daripada sebarang dosa maka itu hanyalah ilusinya semata. Lebih parah lagi apabila bertindak menghukum orang lain lebih hina daripada diri sendiri.
Aku memang seorang pendosa pada mata orang yang berdosa
Lihatlah aku sebagaimana engkau melihat dirimu jua
Apakah hak pendosa menghukum diri yang lain,
Lebih hina darinya
Hakikatnya lihatlah aku sang pendosa yang mengaku
Segala dosa di depanNya
Bukanlah aku sang pendosa agung yang bangga dengan
Dosa-dosaku
Apakah layak seorang manusia biasa menghukum mereka lain lebih hina darinya, walhal dia juga tidak lepas daripada melakukan dosa? Cerminlah diri sendiri, kenal diri barulah kenal Tuhan. Inilah yang cuba penulis ungkapkan melalui sajaknya. Jangan sesekali melihat orang lain itu berdasarkan bentuk semata-mata. Justeru, dengan rasa kerendahan hati dan debu-debu dosa membuatkan diri tunduk sujud padaNya memohon keampunan. Siapakah yang berani mengaku dirinya tidak berdosa? Sedangkan Nabi Muhammad SAW, manusia yang paling tinggi darjatnya, sentiasa mengaku salah dan memohon ampun kepada Allah SWT.
Sajak dalam antologi ini juga memperlihatkan rasa cinta dan rindu penulis terhadap Tuhan. Sememangnya cinta dan rindu itu begitu luas maknanya namun, selayaknya hanya kepada Allah sajalah kita menyerahkan sepenuhnya rasa cinta dan rindu itu. Siapakah yang memberi nikmat perasaan cinta itu kepada kita? Sedar atau tidak, kita selalu leka, lalai untuk mengingatiNya. Dialah Maha Pengasih dan Maha Penyayang memberi nikmat untuk kita merasakan cinta dan rindu. Sejenak membaca sajak nukilan Jasman bin Bandar, begitu terasa perasaan penulis yang penuh dengan cinta dan rindu kepadaNya;
Saat aku mencari cinta yang ada di dunia ini
Ada cinta yang selalu mencari diriku
Cinta yang selalu membahagiakanku
Cinta yang selama ini aku lupakan
Penulis menyatakan dirinya yang lalai dalam meniti kehidupan dunia selama ini. Penulis sedar cintanya terhadap duniawi melebihi cinta kepada Allah. Dengan penuh pengharapan, penulis melahirkan rasa kekesalan terhadap kealpaannya selama ini yang hanya mencintai apa yang dicipta tetapi tidak pernah mencintai pada penciptanya. Setelah penulis menyedari bahawa selama ini selalu mengabaikan cinta Allah, maka timbul rasa cinta yang agung kepadaNya. Keikhlasan wujud dalam diri untuk bertaubat kepadaNya. Tidak ada apa yang penulis harapkan melainkan Allah SWT.
Apabila kita menjejaki sajak-sajak dalam buku antologi ini, sebenarnya ia bukan sahaja menjurus kepada unsur ketuhanan semata, tetapi lebih kepada satu gambaran kehidupan, iaitu simbolik masyarakat atau alam sebagai fitrah kehidupan. Terdapat juga sajak yang mengungkapkan perilaku manusia semasa hidup di dunia. Segala yang diperbuat tidak kira baik atau buruk akan mendapat balasan daripada Allah. Ada juga penulis yang mengungkapkan alam sebagai sesuatu yang sangat bernilai kepada dirinya dan menggunakan alam sebagai satu proses perjalannya kepada ketuhanan. Terdapat juga sajak yang menggunakan kehidupan dirinya untuk mengkritik dirinya sendiri sebagai panduan kepada kehidupannya.
Sebagai seorang hamba, kita haruslah berserah dengan sebenar-benar penyerahan. Tanpa kejadian perkara buruk yang pernah dialami seseorang pula tidak akan dapat merasakan rasa kejadian perkara yang baik. Jelasnya di sini, apabila seseorang telah terjebak ke dalam melakukan perkara yang buruk dirinya akan merasakan cukup berdosa sementara apabila melakukan perkara baik akan bersyukur merasai nikmat kebenaran.
Sememangnya Antologi Sajak Pendosa ini telah memberi kesedaran, pesanan, dan peringatan kepada manusia sejagat mahupun diri penulis sendiri. Perlakuan yang baik dan buruk sebenarnya bergantung pada iman dalam diri. Tidak dapat dinafikan, sebagai seorang manusia biasa, kita selalu lalai dan begitu lemah untuk menepis segala perkara buruk yang datang. Justeru, hanya kepada Allah sahajalah tempat kita berserah, memohon pertolongan. Tidak ada yang lain selain Dia. Sama-samalah kita merenung diri sendiri, siapa kita selama ini? Adakah kita sudah mempersiapkan diri untuk kembali menghadap Tuhan?
Antara penulis yang menukilkan sajak dalam buku antologi ini ialah, Khairul Adinin, Nurain binti Lambertus Guna Hala, Amir Hamzah Aziz, Abuya Hanipah Razali, Asmiaty Amat, Nurul Jannah Mat Sidik, Don, Ramzah Dambul, Hajirikusyuk, Ismailatiff, Henry Bating, Adnin, Adiaulhaq, Adeeba, Adnan Alfian, Adzimhud, Adlin, Zairul Azurin Mohd Zain, Wardati Razen, Asbudi Sjaifuddin, Daniel Meikal, DM Mazudah, Jasman bin Bandar, Muhammad Azhar bin Seman, Norfalisah Kaharuddin, Nur Ainul Asikin, Siti Nor Ain binti Ismail, Mohd Suhaimi Md Yasin, Muhammad Ariff Bazli, S. Fatimah Said, Aizul Hairy bin Omar, Mohammad Fareez Abdul Karim, Noriezzsma A. Gaib, Jamal Ali, A. Muziru Idham, Wan Muhammad Amirul, Fazmi Hisyam, Sifu Art, Ismail Norazman Gudon, Abdul Wahab Wilayah, Achieyq Yma@Nisma, Fawatulida, Lokman Abdul Samad, Mohd. Yusof Abdullah, Nordin, Ujang, Haq, Hud, Adajiwa, dan Abdul Hadi Muhamad.
-Utusan Borneo, 4.3.2012-
Pemikiran yang menarik. Tahniah Yap
ReplyDeleteTerima kasih Sada Menua.moga bermanfaat...
Delete