Wednesday, 28 March 2012

Bengkel Asas Penulisan Skrip Drama untuk lepasan SPM, STPM


Bengkel Asas Penulisan Skrip Drama telah diadakan pada 24 dan 25 Mac 2012 bagi  memperkenalkan remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia kepada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) umumnya dan Fakulti Penulisan ASWARA khususnya sebagai pilihan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang penulisan kreatif.

Seramai 24 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya, SM All Saints dan SMK Likas terlibat dalam bengkel itu yang bertempat di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sabah.

Selain itu, antara objektif utama bengkel itu ialah untuk memberi ruang dan peluang kepada bakat-bakat baharu dalam bidang penulisan untuk mendekati, memahami dan mendalami lagi aspek penulisan drama dengan lebih jelas.

Bukan itu sahaja, bimbingan praktikal dan pendekatan penulisan yang betul serta dengan cara yang sistematis sebagaimana yang seharusnya diketahui oleh penulis-penulis karya kreatif akan dapat diberikan.

Bagi Isabil, 16, pelajar dari SMK Likas, “saya telah dapat teknik dan strategi yang baru untuk mendapatkan idea yang bernas dan berkesan seterusnya boleh digunakan dalam penulisan karya kreatif.”

Rezah Jan,19, SM All Saints pula berkata, “Sekarang saya sudah tahu bagaimana menulis asas penulisan drama dengan lebih baik dan kami dapat ilmu dan dapat dikongsikan kepada rakan-rakan di sekolah.”

Melalui bengkel berkenaan, peserta diberikan pendedahan serta pengalaman secara langsung untuk mencipta karya mereka sendiri serta mengaplikasikan segala teori yang dipelajari.

Di samping itu, bengkel ini juga bertujuan untuk menambah jumlah penulis karya kreatif di luar lembah Kelang umumnya dan sekaligus memperbanyakkan karya kreatif yang berkualiti.

Bengkel tersebut merupakan anjuran Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA dengan kerjasama daripada JKKN Negeri Sabah.

Antara ceramah yang telah disampaikan ialah Penulisan Drama Pentas dan Drama Televisyen yang disampaikan oleh Zakaria Arffin dan Penulisan Drama Radio oleh Nasir Razali.

Bengkel berkenaan dinaungi oleh Dr. Hatta Azad Khan selaku Rektor ASWARA serta Dr. Anwar Ridhwan iaitu Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA sebagai penasihat bersama. 


-Utusan Borneo, 29 Mac 2012-

No comments:

Post a Comment