Wednesday 28 March 2012

300 Hadir Apresiasi Puisi Sajen DBP



kira-kira 300 orang tetamu yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau menghadiri Malam Apreasiasi Puisi Sajen anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dengan kerjasama IPG Kampus Tawau yang diadakan baru-baru ini.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Haji Tawfiq bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, ketika merasmikan majlis berkenaan berkata, sasterawan di negara ini perlu mengambil peranan masing-masing melahirkan karya yang mampu menyatupadukan masyarakat malah turut terlibat dalam siri perbicangan pintar, wacana dan dialog bagi menyelesaikan masalah-masalah berkaitan dengan kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

"Sasterawan perlu melaksanakan tugasnya mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing dalam melahirkan karya kreatif berkualiti sama ada dalam genre puisi, novel, cerpen, drama dan sebagainya.

"Mata pena sasterawan yang dikatakan lebih tajam daripada mata pedang itu perlu mencoret tinta dakwatnya bagi menggerakkan transformasi atau perubahan masyarakat keseluruhannya secara seni dan berhikmah, seterusnya bertindak dalam memupuk kesedaran serta menyerlahkan pemikiran masyarakat ke tingkat tertinggi sastera Melayu negara ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Zubaidi Abas, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa kegiatan seperti ini akan terus digerakkan dari semasa ke semasa malah diperhebat untuk meningkatkan penghayatan dan penghargaan masyarakat terhadap sastera, termasuk puisi.

Malam Apresiasi Puisi Sajen merupakan salah satu usaha yang dilakukan untuk mengakrabkan masyarakat dengan karya sastera, khususnya puisi di samping menyuburkan semangat kebersamaan dan perpaduan yang menjadi teras dalam menjayakan gagasan 1Malaysia.

Malam Apreasiasi Puisi Sajen itu menampilkan bacaan puisi yang sarat dengan teguran, sindiran, didikan, dan falsafah seperti bacaan puisi jenaka oleh Puad Bebit, pensyarah Universiti Malaysia Sabah. 



-Utusan Borneo, 29 Mac-

No comments:

Post a Comment