Sememangnya,
kesenian merupakan lambang budaya sesebuah kaum yang juga menjadi aset penting
kepada negara. Menyedari akan hakikat tersebut, pelbagai langkah proaktif
haruslah diambil bagi memberi kesedaran dan penghayatan kepada setiap anggota
masyarakat akan kepentingannya.
Atas
sebab itu, seramai 72 orang pelajar Penulisan Kreatif Tahun Satu dan Dua di
bawah Kelab Sastera Mahasiswa (KARMA) bersama Sekolah Pengajian Seni,
Universiti Malaysia Sabah telah berganding bahu menjayakan Program Bakti Siswa
di Kampung Skim Kokos, Kunak, Sabah, baru-baru ini dengan bertemakan Seni
Memasyarakatkan Manusia.
Program
yang dijalankan selama lima hari empat malam itu menjadi platform untuk
mendedahkan kepentingan menjaga kesenian dan warisan kebudayaan setempat kepada
masyarakat kampung mahupun para pelajar sendiri.
Secara
tidak langsung, pelajar-pelajar yang terlibat telah berpeluang mengenali dan
menyelami budaya masyarakat Kokos dari segi makanan, pakaian, pantun, bahasa
ibunda, tarian, adat kahwin, adat kematian dan seumpamanya melalui kajian
budaya yang dijalankan bak kata pepatah Melayu “sambil menyelam minum air.”
Menyedari
akan keaslian budaya yang masih dimiliki oleh masyarakat ini, usaha
pendokumentasian direncanakan melalui program berkenaan sebagai satu langkah
untuk memelihara khazanah warisan bangsa yang tidak ternilai harganya ini agar terus
dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang.
Selain
itu, hubungan silaturahim di kalangan pelajar universiti dengan masyarakat luar
dieratkan lagi melalui pelbagai pengisian program.
Antara
program yang telah dijalankan bagi mencapai objektif ini ialah program anak
angkat antara pelajar dan penduduk kampung, sukaneka serta aktiviti-aktiviti
kemasyarakatan seperti gotong-rotong membersihkan masjid.
Bakti
Siswa pada kali ini tidak hanya mengadakan program di dalam kampung Kokos
tetapi juga mengambil peluang untuk mendekati pelajar sekolah menengah dengan
mengadakan aktiviti di sekolah yang terpilih.
Justeru,
satu taklimat seni telah diadakan pada hari kedua program di Sekolah Menengah
Kebangsaan Madai oleh aktivis seni terkenal tanah air yang turut serta iaitu
Khalid Salleh dan Puad Bebit yang memperkenalkan Sajak Jenaka Sinis (SAJENIS)
kepada para pelajar sekolah.
Para
pelajar yang terdiri daripada Tingkatan Lima dan Enam telah diajar dan diberi peluang
menghasilkan SAJENIS yang disifatkan masih baru lagi kewujudannya. Boleh
dikatakan sambutan terhadap aktiviti kesenian terutamanya sastera begitu
menggalakkan di kalangan pelajar yang terlibat apabila telah menunjukkan
komitmen yang tinggi.
Pada
malam penutupan program berkenaan yang disempurnakan oleh Dekan SPS, Prof.
Madya Dr. Haji Ismail Haji Ibrahim, pelbagai persembahan kesenian seperti
deklamasi puisi dan sketsa dipersembahkan oleh para pelajar SPS bersama-sama
dengan penduduk kampung.
Bagi
Ahmad Azreen Wahibuddin Bin Abdul Wahab, pelajar Penulisan Tahun Dua yang juga berasal
dari Negeri Kelantan, dia merasa amat bertuah kerana dapat merasai budaya dan
kesenian masyarakat Kokos yang begitu unik.
“Ini
merupakan pengalaman baru bagi saya dan melalui program sebegini, saya
berpeluang mengenali budaya, kesenian dan cara hidup masyarakat Kokos di Sabah
yang lain daripada yang lain di samping dapat beramah mesra bersama penduduk
kampung,” Katanya.
Pada
masa yang sama Bakti Siswa ini juga dilihat dapat melatih para siswa/i terhadap
bidang pengurusan yang melibatkan pihak luar universiti bermula dengan kertas
kerja sehinggalah laporan akhir program.
Diharap,
dengan adanya program seumpama ini, para pelajar khususnya mahasiawa/i dapat
memanfaatkan masa yang ada untuk mengenali dengan lebih dekat lagi aspek
kesenian.
PARA
pelajar SMK Madai dan Mahasiswa/i merakamkan gambar kenang-kenangan bersama
Khalid Salleh dan Puad Bebit selesai sahaja program.
No comments:
Post a Comment