Saturday, 28 April 2012

MITOS anjur Bengkel Teater Tradisi Rakyat Sabah


Majlis Amanah Organisasi Teater Negeri Sabah (MITOS) bakal menganjurkan Bengkel Teater Tradisi Rakyat Sabah awal bulan Mei ini.

Presidennya, Jamal Sulai berkata, bengkel ini diadakan bertujuan untuk memartabatkan seni Teater Tradisi Rakyat supaya boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Selain itu, ia juga sebagai langkah terbaik agar Kerajaan Malaysia amnya dan Sabah khususnya dapat  memasukkan teater ini ke dalam pakej pelancongan.

“Selama ini, kita hanya didedahkan dengan tarian dan keindahan alam yang ada di Sabah tetapi sekarang kita akan cuba memperkenalkan teater tradisi sebagai salah satu daya tarikan kepada  pelancong.

“Sekiranya kita lihat di negara luar, teater ini telah pun diangkat sebagai salah satu produk pelancongan yang utama.

“Secara tidak langsung, kita sebagai pihak penganjur berharap para peminat seni teater terutamanya pelajar-pelajar daripada Institusi Pengajian Tinggi dan orang luar dapat melibatkan diri dalam bengkel ini nanti,” Tambahnya lagi.

Sebagai permulaan, MITOS telah mengumpulkan beberapa buah naskah cerita yang berunsur tradisi rakyat untuk dibengkelkan, dipentaskan dan diterbitkan nanti.

Antaranya, Selendang Tanjung Sampang Mangayau, Manambalang, Tarirai Sayang, Sambulayang dan Anjung Bahatlah.

Teater Tradisi Rakyat merupakan cerita-cerita yang berunsur mitos, adat istiadat, dan legenda rakyat Borneo.

Sehubungan itu, bengkel yang akan diadakan pada setiap sabtu dan ahad selama tiga bulan ini akan menampilkan beberapa tokoh terkenal dalam bidang teater seperti, Prof. Ghous Nasaruddin, Dr. Samad Salleh, Zakaria Ariffin, Halimi Mohd Noh, Dr. Andika Aziz Hussin, Awang Karim Kadir, Nandra Hitong dan Jamal Sulai sendiri.

Sebagai permulaan, yuran sebanyak RM20.00 setiap minggu akan dikenakan kepada peserta.

Sesiapa yang berminat, bolehlah berhubung terus dengan Jamal Sulai (0168066848) dan Nandra Hitong  (0198096892) atau menerusi laman Facebook Jamal_Sulai @ yahoo. com dan Nandra Yanatirow. 


No comments:

Post a Comment