Berapa
ramai daripada kita yang telah menghayati dan menggunakan Bahasa Melayu dengan
betul semenjak ia dipersetujui sebagai Bahasa Rasmi negara?
Berdasarkan
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan
hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan
undang-undang oleh Parlimen.
Namun
begitu, kewujudan akta ini dilihat tidak akan dapat mendatangkan hasil seperti
yang diinginkan seandainya tidak didukung oleh semua pihak di negara ini.
Perkara
ini diakui sendiri oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah
(DBPCS), Zubaidi Abas yang menyatakan bahawa, matlamat untuk mewujudkan
penggunaan Bahasa Kebangsaan dengan baik dan betul dalam bentuk pertandingan
sememangnya berjaya tetapi, hasrat untuk mendidik masyarakat seluruhnya untuk
menggunakan Bahasa Kebangsaan yang baik dalam kehidupan seharian masih belum
tercapai.
Justeru,
penganjuran pertandingan Forum Remaja Peringkat Negeri Sabah kali ke-21 pada 26
April 2012, merupakan salah satu usaha bersama bagi mendukung hasrat kerajaan
untuk mewujudkan penggunaan Bahasa Kebangsaan yang seragam dalam sistem
Pendidikan Negara, khususnya dalam aspek sebutan baku.
Dengan
adanya pertandingan ini diharap dapat meningkatkan lagi kecintaan para pelajar
terhadap Bahasa Kebangsaan seterusnya diaplikasikan dalam pertuturan seharian.
Pertandingan
yang telah berlangsung di Dewan Besar, DBPCS ini, mendapat penyertaan daripada
24 buah sekolah menengah yang mewakili
daerah masing-masing.
Walau
bagaimanapun, hanya 19 buah sekolah yang hadir manakala lima sekolah lagi tidak
dapat menyertai atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
Boleh
dikatakan, keempat-empat buah sekolah yang layak ke peringkat final telah
memperlihatkan gaya persembahan yang cukup menarik dan berkualiti melalui tajuk
forum yang dikupas dengan teliti mahupun isu-isu semasa yang dikemukakan.
Namun
begitu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau 2, Keningau, yang diwakili
oleh Erfaneeza Darian @ Karim, Noratikah Sidek, Era Fareha Binti Junis, Farah
Amira Binti Abd. Jumit dan Izyan Nadirah Binti Ahmad lebih berjaya memikat
perhatian para juri dengan menampilkan gaya persembahan yang santai dan
bersahaja melalui tajuk ‘Keruntuhan Akhlak Dalam Kalangan Pelajar dan Remaja.’
Pertandingan
ini yang bermula sejak 1991 bagi Negeri
Sabah, menyaksikan SMK Keningau 2 berjaya meraih gelaran Johan apabila menewaskan
juara pada tahun lalu iaitu SMK Kuhara, Tawau, yang terpaksa berpuas hati di
tempat kedua.
Manakala,
SMK Benoni, Papar, mendapat tempat Ketiga diikuti oleh SMK Segama, Lahad Datu,
untuk Sagu Hati.
Bagi
Mohd Eddie Mufti Mat Radzali, selaku guru pengiring SMK Keningau 2, dia tidak
menyangka anak didiknya berjaya melangkah ke peringkat final apabila melihat
persembahan yang begitu hebat sekali daripada semua kumpulan yang bertanding
dalam peringkat saringan sebelumnya.
“Ternyata
usaha kami siang dan malam selama ini membuahkan hasil yang setimpal.
“Pelajar
begitu bersemangat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk merebut kejuaraan pada
kali ini.
“Percubaan
kami selama tiga tahun berturut-turut di peringkat negeri akhirnya berhasil dan
kami berharap dapat menjadi johan peringkat Kebangsaan nanti seterusnya
menaikkan nama Sabah,” Katanya.
Kejayaan
ini juga menjadi kenangan manis buat
Farah Amirah Binti Abd. Jumit, salah seorang peserta dari SMK Keningau 2, kerana ini
merupakan pengalaman pertamanya mengikuti pertandingan Forum Remaja Peringkat
Negeri Sabah apa lagi dengan berjaya menjuarainya.
“Saya
sangat gembira, terkejut dan tidak sangka kami akan menang kerana SMK Kuhara
selalu menjadi juara sebelum ini,” katanya.
Dengan
kejuaraan ini, SMK Keningau 2 membawa pulang Piala Iringan, Wang Tunai RM150.00
seorang, Buku Terbitan DBP serta Sijil Penghargaan.
Berdasarkan
sejarah pertandingan, daerah Tawau telah menjuarai pertandingan sebanyak 13
kali melalui wakilnya SMK Tawau dan SMK Kuhara.
Pada
peringkat Kebangsaan pula, Negeri Sabah telah meraih pencapaian terbaik apabila
Sekolah Menengah St. Joseph Papar, menjuarai pertandingan tersebut pada tahun
1992, dan SMK Tawau pada tahun 1999, 2000 dan 2002.
Secara
keseluruhannya, Forum Remaja Peringkat Negeri Sabah kali ini yang dianjurkan
bersama oleh DBPCS, Jabatan Pendidikan Negeri, Persatuan Pengetua Sekolah
Menengah Sabah, serta Kementerian Belia dan Sukan Negeri, dilihat telah berjaya
memberi pendedahan berguna kepada para peserta.
Program
seumpama ini sememangnya wajar diteruskan dan disokong oleh semua pihak
terutamanya ibubapa dan media agar penggunaan Bahasa Kebangsaan yang betul
dapat diterapkan di kalangan remaja.
Justeru,
penyertaan daripada pihak sekolah di seluruh negeri diharap akan lebih
menggalakkan pada masa akan datang agar matlamat untuk menyediakan suasana
penggunaan Bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar sekolah seterusnya
mewujudkan satu model penggunaan Bahasa Melayu baku dapat direalisasikan.
JOHAN...Pelajar SMK Keningau 2 serta guru pengiring
mengangkat piala pusingan buat julung kalinya.
DATU Nasrun Datu Mansur menyampaikan piala kemenangan
kepada pelajar SMK Keningau 2 sambil diiringi Zubaidi.
No comments:
Post a Comment