Saturday 12 May 2012

Ekespedisi MEDARTS X2 Rundum, Pengalaman Berharga Bagi Penduduk Kampung


Program Ekspedisi Perubatan dan Kesenian “MEDARTS X2 RUNDUM” ke Kampung Rundum, Tenom, pada 3-6 Mei bukan sahaja menghadirkan pengalaman yang tersendiri kepada para peserta malah memberi manfaat berguna kepada penduduk kampung.

Lebih kurang 73 orang peserta yang terlibat dalam ekspedisi ini dengan menggunakan sebanyak 23 buah kenderaan lasak 4X4 telah dilepaskan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jen. Brig. Prof. Datuk Seri Panglima Kamaruzaman Hj Ampon.
  
Tujuan ekspedisi ini dijalankan adalah untuk mendekatkan diri kepada masyarakat di kawasan luar bandar di samping memberikan sedikit perkhidmatan kemasyarakatan termasuklah rawatan perubatan, pemeriksaan kesihatan dan memberikan pendidikan kesihatan kepada masyarakat.

Kumpulan ekspedisi kali ini yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof Madya Dr Haji Kasim Bin Haji Md. Mansur, dianggotai oleh kakitangan daripada Sekolah Perubatan dan Sekolah Pengajian Seni (SPS) yang terdiri daripada kakitangan akademik, pegawai tadbir, juruteknologi makmal perubatan, jururawat, kakitangan sokongan dan juga pelajar-pelajar SPS.

Selain itu, turut terlibat sama ialah ahli-ahli dari luar UMS yang menyumbangkan secara sukarela kepakaran, tenaga, bantuan kenderaan lasak 4X4 serta komitmen.

Mereka ini terdiri daripada ahli kumpulan kelab atau peminat 4X4 dari kakitangan yang datang dari beberapa agensi, termasuklah di kalangan orang perseorangan, syarikat swasta, Polis Di Raja Malaysia, Pasukan PGA, Imigresen dan dari Jabatan-Jabatan Persekutuan lain di negeri Sabah, yang termasuk juga pesara kerajaan.

Ternyata perjalanan yang memakan masa sehari suntuk membuatkan para peserta tidak berkesempatan untuk melakukan sebarang aktiviti setibanya di sana akibat diulit keletihan melainkan hanya bertungkus lumus memasang khemah dan memasak untuk jamuan makan malam.

Pada hari kedua, barulah pelbagai aktiviti dijalankan dari pagi hingga malam yang melibatkan penduduk kampung, guru-guru dan murid-murid sekolah.

Antaranya ialah, senamrobik bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Rundum, upacara penanaman pokok, pemberian buku kepada penduduk kampung, pemeriksaan kesihatan kepada murid-murid sekolah dan penduduk kampung, pendidikan kesihatan iaitu mengajar murid-murid sekolah menggosok gigi dengan betul, pertandingan mewarna untuk murid sekolah, pemberian barangan terpakai seperti baju, kasut dan beg kepada penduduk kampung serta membuat layang-layang bersama murid-murid sekolah.

Pada malamnya pula, pelbagai persembahan kesenian seperti tarian, deklamasi puisi dan nyanyian dipersembahkan khas untuk penduduk kampung yang diadakan di Balai Raya oleh rombongan ekspedisi.

Duduk bersama dengan pendudukkampung, dapat dirasakan keramahan mereka yang sangat mengalu-alukan ketibaan rombongan ekspedisi ini apabila memberikan kerjasama sepenuhnya dalam apa jua aktiviti yang dilaksanakan.

Masuk hari ketiga, kelihatan penduduk kampung lebih bersemangat apabila telah berada di dataran SK Rundum seawal pukul 8.00 pagi untuk melibatkan diri dengan aktiviti senamrobik, Bengkel Make-up untuk wanita dan kanak-kanak, Sukaneka serta pertandingan menyumpit di antara penduduk kampung dengan wakil rombongan ekspedisi.

Malamnya pula diserikan lagi dengan pertandingan karoeke yang bertemakan ‘Suara Rundum,’di mana telah mendapat penyertaan yang begitu menggalakkan daripada golongan kanak-kanak sehinggalah dewasa.

Antara persembahan lain yang turut diadakan ialah, penyampaian hadiah, persembahan tarian daripada murid-murid SK Rundum, penduduk kampung, dan juga wakil UMS sendiri.  

Seterusnya pada hari terakhir, peserta Ekspedisi Rundum bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah sebelum bertolak balik ke UMS tepat pukul 9.30 pagi. 

Ternyata, program kemasyarakatan yang julung kali diadakan di kampung terpencil ini memberi sejuta kegembiraan dan makna yang begitu besar kepada ahli-ahli ekspedisi mahupun warga Rundum khususnya.

Rata-rata penduduk kampung yang sempat ditemubual menyatakan rasa gembira dan terharu mereka terhadap rombongan ekspedisi ini kerana telah memilih Kampung Rundum.

 “Tidak pernah lagi dibuat macam ini di sini, kami rasa gembira sebab kamu datang, pilih kampung ini.

“Bukan senang mahu sampai di sini sebab jalan raya pun tidak berapa bagus,” kata Sauna Binti Mohd Tahir @ Mangi,  salah seorang penduduk kampung.

Program ini juga sedikit sebanyak telah membantu dan membimbing penduduk kampung dalam penjagaan kesihatan serta perkongsian maklumat termasuklah kesenian dan kesihatan.

Sememangnya, ekspedisi ini dapat dijadikan inisiatif untuk membantu meningkatkan lagi taraf kesihatan, kehidupan dan membolehkan maklumat-maklumat seni dan kesihatan penduduk di luar bandar khususnya di bahagian pedalaman diketengahkan untuk faedah bersama.















2 comments: