Monday, 23 July 2012

Pusat Seni Suria bertekad asah bakat seni pelajar



“Bakat seni tidak akan kelihatan bersinar jika ianya tidak diasah.” Kata Pengarah Eksekutif Pusat Seni Suria, Datuk Raya Erom.

Katanya, atas kesedaran tersebut, Pusat Seni Suria diwujudkan sebagai sebuah pusat pendidikan seni atau sekolah seni di negeri Sabah untuk mengasah bakat seni yang sedia ada di kalangan anak-anak remaja di samping menjana kreativiti ilmu.

Pusat Seni Suria yang bernaung di bawah Yayasan 1Suria menawarkan empat bidang seni utama iaitu Seni Tari, Seni Muzik, Seni Lakonan dan juga Seni Lukisan. Untuk Seni Tarian, pusat ini akan melatih dan mendidik pelajar pelbagai bentuk dan teknik tari yang diolah dengan koreografi baru baik yang berakarkan tradisi mahupun bebas.

Begitu juga dengan Seni Muzik yang akan mendidik dan melatih pelajar tentang kaedah permainan alat muzik tradisional seperti Gong, Kulintangan, Gambus, Sompoton, Bungkau, Pegendangan, Angklung, Gamelan dan Kompang.

Manakala untuk Seni Lakon dan lukisan pula, pusat ini akan mendidik serta melatih asas dan teknik lakon pentas, TV dan Filem serta teknik melukis cara kreatif.

Menurut Raya, penubuhan pusat seni ini akan memberi manfaat untuk membuka ruang dan peluang kepada kanak-kanak, remaja, dewasa dan penggiat seni lainnya amnya bergabung untuk menelusuri aktiviti seni.

“Pusat seni ini akan membimbing dan mengasah bakat seni anak-anak di bawah asuhan Yayasan 1Suria.

“Selain itu juga, Pusat Seni Suria turut membantu kerajaan dalam usaha untuk mendidik anak bangsa mengenali dan menguasai ilmu kesenian terutamanya bagi mereka yang kurang atau tidak memiliki ilmu pendidikan akademik tetapi berminat dalam bidang kesenian,” Katanya ketika menghadiri pra perasmian pusat itu pada 15 Julai lalu.

Di samping itu, pusat seni ini bermatlamat untuk menghimpun para seniman veteran berbincang serta berusaha untuk mencurah bakat dan pengalaman mereka kepada bakat baru dalam usaha melahirkan pelapis baru yang bakal melopori kepelbagaian bidang seni satu hari nanti.

“Kita akan mengumpul para penggiat seni tanah air untuk menghidupkan dan memajukan kesenian budaya suku-suku kaum. Ianya akan memberi kesan positif kepada kegiatan seni di negeri ini,” Katanya lagi.

Bagi Pengurusnya pula, Suhaimi Magi, dengan adanya Pusat Seni Suria diharapkan dapat menjadi pertemuan kepada para penggiat seni terutamanya tokoh-tokoh lama.

“Di sini kita boleh adakan pertemuan untuk berbincang bagaimana mahu mencungkil bakat-bakat yang terpendam terutamanya di kalangan generasi muda.

“Kami akan sentiasa mencari tenaga pengajar atau mereka yang mempunyai kepakaran untuk sama-sama menyumbang ilmu di sini.

“Diharap, lebih ramai masyarakat mahu bergabung dengan kami dan sama-sama membangun kesenian dengan bergabung kepakaran untuk disalurkan kepada generasi muda,” Katanya.

Sehubungan itu, sesiapa yang berminat untuk mengikuti kursus yang ditawarkan di pusat seni ini, yuran pendaftaran berjumlah RM180.00 akan dikenakan dan RM80.00 sebagai yuran bulanan.

Menariknya, sijil pengiktirafan untuk setiap kursus akan diberikan kepada pelajar selepas selesai tahap pembelajaran yang ditetapkan.

Pusat Seni Suria yang terletak di Tingkat 1, Block D, 1st. Floor, Plaza Utama Alamesra, Kuala Menggatal, Kota Kinabalu juga menyediakan studio latihan dan peralatan muzik tradisi serta moden untuk memudahkan sesi pembelajaran.

Bagi penggiat seni yang berminat untuk menyewa studio untuk menjalankan kegiatan seni mereka, bolehlah berhubung dengan Henny Wasli di talian (0109350731) dan pejabat (088-484725) atau emailkan pertanyaan ke www.pusatsenisuria@gmail.com serta melawati blognya di http:/pusatsenisuria.blogspot.com.

Justeru, sokongan yang berterusan daripada semua pihak amatlah diharapkan dalam usaha kita untuk mengembangkan lagi kegiatan kesenian di negara ini khususnya di negeri Sabah sendiri.

“marilah kita sama-sama memberi sokongan dan dorongan kepada pusat seni ini semoga ianya dapat mengimarahkan dunia di persada seni,” Kata Datuk Raya Erom.












No comments:

Post a Comment