Nampaknya, kes rogol seperti tidak ada kesudahannya apabila ia terus sahaja berlaku di negara ini. Usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak bagi mengatasi masalah ini ibarat mencurah air ke daun keladi. Lihatlah, sejak dari dahulu lagi ada sahaja berita yang terpampang di media massa tempatan berkaitan gejala tidak bermoral ini. Ia seperti wabak yang tidak ada penawarnya. Di manakah silapnya?
Di saat bahang Pilihan Raya Umum ke-13 masih hangat diperkatakan, kita telah dikejutkan dengan satu kes rogol dan bunuh terhadap seorang kanak-kanak perempuan bawah umur. Nur Amyliana Shuhada Mohd Noor yang berusia 11 tahun atau nama timangannya Cinang ditemui meninggal dunia setelah dirogol sebelum dibunuh. Sungguh menyayat hati apabila mendengar berita kejam ini.
Bayangkan sekiranya kita berada dalam situasi keluarga mangsa, apakah kita dapat menerima berita sedih ini? Saya percaya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Seluruh rakyat Malaysia amat bersimpati dan tidak mungkin memaafkan perbuatan tidak berperikemanusiaan ini. Kepada keluarga mangsa, saya ucapkan takziah dan banyakkan bersabar. Percayalah tidak ada hujan yang tidak berhenti, tiada duka yang abadi.
Seperti yang kita ketahui, kes sebegini bukanlah baru terjadi kali ini, malah sudah acap kali. Antara yang sering terjebak melakukannya ialah golongan muda remaja. Persoalannya, mengapa semua ini terus berlaku walaupun telah diwujudkan hukuman yang berat oleh pihak berwajib.
Adakah hukuman yang diperuntukkan itu masih tidak mencukupi untuk membendung gejala ini? Ataupun kawalan keselamatan negara ini terlalu lemah hingga perkara ini terus menular? Saya bukanlah seorang pemikir yang baik untuk mencari inisiatif terbaik bagi mengekang gejala sebegini. Tepuk dada, tanya selera. Apa yang harus kita renungkan ialah, sejauh manakah tahap kesedaran kita terhadap salah laku moral sebegini?
Kita seharusnya mengambil iktibar atas setiap sesuatu yang terjadi. Pada saya seberapa berat pun hukuman yang diperuntukkan, gejala ini teramatlah sukar dibendung andai pemikiran kita sendiri seringkali dicemari dengan hal dan budaya negatif yang mendorong kita melakukannya. Pernahkah kita terfikir mengapa dia merogol? Atau kenapa dia dirogol? Semua yang berlaku ada sebab dan akibatnya yang perlu kita amati.
Segalanya bermula dari peringkat akar umbi. Didikan agama dan moral sedari kecil haruslah dititikberatkan oleh Ibu bapa kepada anak-anak. Barangkali kenyataan ini agak klise tetapi tidak salah untuk kita ingat-mengingati, merenung kembali.
Inilah tunjang ke arah pembentukan akhlak dan sahsiah yang baik dalam diri setiap individu. Jangan biarkan mereka hanyut dengan pengaruh budaya kotor yang terdapat di sekeliling apalagi dalam era kecanggihan teknologi maklumat tanpa sempadan ini yang seperti telah hilang pantang larangnya.
Namun lebih menyedihkan apabila pernah berlaku di mana ayah merogol anak kandungnya sendiri. Benarlah, ketika akal tidak lagi mampu mengawal diri, nafsulah yang bermaharajalela dalam setiap tindakan kita. Dalam konteks ini, wajar kita cermin diri, melihat kelemahan yang ada agar dapat diperbaiki. Jangan sampai nanti diri mahupun anak-anak kita pula yang bergelar perogol. Ayuhlah kita berdoa semoga dijauhkan oleh-Nya daripada sifat-sifat yang tidak elok seperti ini.
No comments:
Post a Comment