Thursday 10 May 2012

Menari Bersama Buaya di Taman Buaya Tuaran


Apabila bercerita tentang buaya, pasti ramai yang menzahirkan rasa takut terhadap haiwan pemangsa ini terutamanya bagi mereka yang belum pernah melihatnya secara dekat. 

Namun begitu, persepsi ini berlainan sekali apabila kita berkunjung ke Taman Buaya yang terletak di Jalan Sulaman, Tuaran, 32 KM Utara daripada Kota Kinabalu.

Selain daripada Daerah Tuaran, terdapat dua lagi cawangan Taman Buaya ini iaitu di Langkawi dan Sandakan yang diasaskan oleh Chai Yau Look.

Di sini, pengunjung berpeluang menyaksikan Crocodile Show yang dilakukan oleh pekerja terlatih tepat pukul 11 pagi dan 3 petang pada hari Isnin hingga Sabtu manakala, untuk hari Ahad dan Cuti Umum pula, persembahan disajikan pada pukul 11 pagi, 1 petang dan 3 petang sahaja. 

Persembahan yang dilakukan di Kolam Pertunjukan, dimulai dengan buaya bersaiz kecil sehinggalah bersaiz besar sambil diiringi alunan muzik berirama dangdut dan sumazau yang mencuit hati pengunjung.

Sesuatu yang amat menarik di sini ialah apabila melihat aksi-aksi yang dipersembahkan, rasa takut bukan saja hilang malah akan membuatkan kita tersenyum dan ketawa.

Aksi-aksi seperti menari bersama buaya, baring di atas badan buaya dan memberus gigi buaya amat menghiburkan walaupun terasa sedikit mendebarkan apabila melihat aksi mencium dan memasukkan tangan ke dalam mulut buaya dilakukan. 

Sebagai penternak buaya terbesar di Sabah, ladang ini boleh memuatkan lebih daripada 1000 ekor buaya dan mula beroperasi pada tahun 2005.

Dianggarkan terdapat lebih kurang 3000 ekor buaya di taman ini hasil daripada pembiakan yang berterusan dan merupakan salah satu pengeluar buaya air masin (Crocodylus Porosus).

Rata-rata spesis buaya yang ada di taman ini terdiri daripada Buaya Tembaga dan Julung-Julung.

Taman ini dibuka setiap hari bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang di samping mengenakan bayaran masuk  yang berpatutan bagi pengunjung tempatan iaitu, RM10.00 untuk orang dewasa dan RM5.00 untuk kanak-kanak yang berumur 4-12 tahun.

Manakala bagi pelancong asing pula, bayaran sebanyak RM15.00 untuk orang dewasa dan RM10.00 untuk kanak-kanak dikenakan.

Taman ini bukan sahaja menempatkan pelbagai saiz buaya untuk tatapan para pengunjung, tetapi juga memelihara spesis haiwan lain seperti Payau, ikan, landak, Burung Unta, kambing, Burung Merak, Ayam Serama, Binturong dan beberapa lagi.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan Cultural Dance Show yang menampilkan tarian-tarian etnik Sabah seperti Sumazau, Anggalang Magunatip dan Limbai.

Di samping itu,  produk yang dihasilkan daripada kulit buaya seperti, beg tangan, tali pinggang dan dompet boleh didapati di sini dengan harga yang berpatutan. 

Menurut Faridah Tajuddin selaku salah seorang pekerja yang paling lama di taman ini, setiap kulit buaya mentah mempunyai perakuan daripada CITES (Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora) dan sertifikasi supaya produk dapat dijual dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Taman ini mempunyai reputasi bertaraf antarabangsa untuk menghasilkan kulit dan daging buaya berkualiti tinggi.

“Dari segi produksi kami mematuhi peraturan untuk memastikan hanya buaya yang mempunyai kualiti dan sihat untuk mendapatkan kulit terbaik,” Katanya. 

Selain itu, minyak buaya, hempedu buaya, organ jantan buaya, telur buaya, daging buaya yang dijual di sini dikatakan mempunyai khasiatnya yang tersendiri terutamanya untuk tujuan perubatan seperti menyembuhkan penyakit asma.

Sememangnya, kewujudan Taman Buaya Tuaran bukan sahaja memberi bekalan yang terus menerus kepada industri yang memerlukan kulit buaya malah dapat memelihara reptilia ini daripada ancaman kepupusan seterusnya dipamerkan kepada orang ramai.













5 comments:

  1. Utusan Borneo- 08/05/2012 (Selasa)
    *p/s:: kenapa ndak da pic brung unta d news.. nampak comel pulak burung unta tu punya pic d blog ni..hihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
  2. hehe..x ckup ruangan bah tu...comelkan, tapi kin geli ni,

    ReplyDelete
    Replies
    1. iya..comel... napa plak bikin geli??
      tmpt tu nda juga brapa jaw dri uma aku..tp nda pnah jua ku p sana tngk..hihi

      Delete
  3. oo, dekat ja sama ruma ko...bagusnya. bkan jg geli, rasa ngilu ,mau pegang.haha, lain ja lehernya,

    ReplyDelete