Friday, 6 September 2013

GEMA PUISI DI KAMPUNG LIKAS

Tidak ramai, tetapi cukup bermakna. Sederhana, tetapi tetap gah. Itulah yang dapat saya gambarkan pada Malam Apresiasi Puisi Merdeka yang berlangsung di kediaman Laliman Haji Ahmad di Kg. Likas Lama pada 25 Ogos lalu.

Program bersifat santai anjuran Umno Cawangan Taman Millian P171 Sepanggar dengan kerjasama Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan Persatuan Kreativiti dan Inovasi Sabah (Kreatif Sabah) diadakan sebagai satu cara penghayatan terhadap kemerdekaan negara. Para penulis, penyair mahupun karyawan seni berhimpun bersama masyarakat setempat bermula pukul 8 .00 malam.

Tidak ada protokol, tidak ada kekangan untuk hadir ke majlis yang telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Haji Idris. Semuanya berjalan lancar atas rasa kebersamaan yang kental dan utuh.
Pengisian program baik dari segi bacaan puisi, lagu puisi mahupun nyanyian, semuanya berkait dengan kemerdekaan negara kita.

Mohd Izzuddin Fitri, seorang muda yang baru berusia 24 tahun membuka tirai persembahan dengan  menyanyikan lagu Bahtera Merdeka yang cukup menyentuh hati.

Seterusnya dihangatkan lagi dengan bacaan puisi daripada penyair besar Sabah iaitu Hasyuda Abadi yang juga merupakan Ketua Satu IPS melalui karya terkenalnya Balada Paduka Mat Salleh.

Fragmen sajak yang disampaikannya mengembalikan sejenak ingatan kita terhadap perjuangan Mat Salleh mengusir penjajah.  Karya berunsur sejarah ini sememangnya wajar dihayati oleh generasi kini dan seterusnya.

Malam terus bererti dengan kesudian Datuk Jumat Haji Idris memenuhi permintaan masyarakat untuk membacakan puisi. Walaupun sudah lama tidak membaca puisi katanya, tetapi beliau tetap bersemangat dan merindui aktiviti sebegini.

Malah beliau berharap golongan penulis dapat membantu memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat melalui apa jua program yang sihat seperti ini.

Gema puisi semakin rancak apabila Laliman Haji Ahmad mengalunkan pula Lagu Rakyat Bajau yang kaya dengan nilai tradisinya sebelum menyumbangkan suara untuk menyayikan lagu Bahtera Merdeka.
Lagu berkenaan memberi makna yang mendalam, luahnya. Ketua Dua IPS, saudara Abdul Naddin Hj Shaiddin menambah seri majlis apabila dijemput mendeklamasikan puisi.

Beliau juga sudah lama tidak mendeklamasikan puisi, katanya sambil tersenyum. Ternyata beliau masih berbisa dengan lontaran suara yang bersahaja.

Tidak terhenti di situ, beberapa orang penyair veteran juga terus memukau penonton melalui persembahan mereka yang bertenaga. Antaranya Julkan Haji Ariffin dan Jikrun Mahmut.

Sofie Clara, Jaliha Jaman, Haslina Haji Oli serta beberapa orang penyair wanita yang lain, tidak hadir dengan tangan kosong apabila turut sama mendeklamasikan puisi.

Lebih membanggakan apabila anak-anak muda tidak mahu ketinggalan untuk menzahirkan semangat patriotik mereka kepada negara. Antaranya Mohd Izzuddin Fitri yang mendeklamasikan sajak hasil ciptaannya sendiri, Sabih Desemin dengan puisi pilihannya bertajuk Mentafsir Air Mata karya Hasyuda Abadi, Wellson sahabat baru kami yang mencipta sejarah tersendiri apabila kali pertama menyampaikan puisi serta saya sendiri yang mendeklamasikan puisi nukilan A. Samad Said berjudul Hidup Bersama.

Sebelum tirai persembahan dilabuhkan, percikan bunga api yang berwarna-warni menambahindahkan lagi malam tersebut. Terasa seperti berada di ambang 31 Ogos dan kami melaungkan lafaz Merdeka bersama.

Akhir sekali, kami menarikan tarian tradisi yang begitu popular dalam kalangan masyarakat Bajau iaitu 'Berunsai' dan 'Manuk-Manuk Lumbukun'.  Sambil membuat bulatan, tangan kami berpegang erat antara satu sama lain tidak kira tua atau muda, kaya atau miskin, hitam atau putih sebagai lambang perpaduan walaupun berlainan bangsa dan agama.

No comments:

Post a Comment