Satu kerisauan yang menjadi igauan saya dalam arena seni Sabah ialah kurangnya karyawan daripada golongan muda. Selama mengikuti perkembangan aktiviti seni budaya Sabah, gelanggang seni terasa begitu kecil apabila hanya karyawan mapan sahaja yang kelihatan.
Manakah generasi muda penerus perjuangan seni bangsa? Adakah kerana ‘golongan tua’ meminggirkan mereka secara terancang atau adakah golongan seniman muda tidak berminat untuk turut serta?
Tugas siapa dalam mencari menggilap dan membawa generasi muda dalam arus gelombang seni budaya bangsa? Anak muda harus punya tekad dalam sama-sama berusaha menghidupkan nadi budaya bukan sekadar tunggu dan lihat atau ‘dikerah’ barulah mahu turut serta.
Persoalannya, adakah anak seni tidak punya tempat di bumi sendiri? Lihatlah di akhbar atau majalah-majalah DBP Sabah, adakah karya-karya penulis baru tersiar?
Jawabnya ‘TIADA’ dan kalau ada pun boleh dibilang dengan jari jumlahnya. Kenapa? Kerana kita yang tidak mahu berkarya bukan mereka yang tidak menyiarkannya.
Kemanakah menghilang golongan muda ini terutamanya para graduan seni? Saya merasakan seni budaya Sabah semakin tenat apabila tidak nampak lagi pelapisnya.
Saya amat bersyukur mengenal karyawan besar Sabah seperti, Hj Inon Sahahrudin, Hasyuda Abadi, Ariffin Arif, Abdul Naddin Shaiddin, Suhaimi Yassin, Tang Sook Kuan, Jair Sulai, Puad Bebit, dan beberapa nama lagi yang sememangnya memainkan peranan penting dalam menggerak dan menyemarakkan kegiatan seni budaya kita.
Dulu mereka juga muda seperti kita namun mereka gigih atas nama perjuangan. Lalu apa pula sumbangan kita sebagai golongan muda? Apa perjuangan kita?
Kalau jawapannya tidak punya masa, rasanya itu bukanlah alasan yang patut keluar dari mulut seorang graduan seni. Gelanggang sentiasa dibuka, peluang sentiasa ada. Terserah kepada kita sama ada mahu atau tidak.
Sewaktu meuntut dalam bidang seni, kita mampu menghasilkan karya-karya baharu baik dalam bidang penulisan kreatif, tulisan kritikan, skrip lagu dan drama, tari, teater, visual mahupun muzik.
Jika dulunya kita mudah untuk menerima cabaran pensyarah untuk menulis sajak, cerpen, berteater siang dan malam, menari hingga ke luar negara, pendek kata semuanya boleh, nah sekarang kenapa kita tidak boleh melakukannya? Ya mungkin juga tiada siapa yang peduli berangkali nasib kita ini? Kita hanya diapanggil untuk menghangatkankan kerusi bilik seminar yang selalunya sepi bila tiada penonton yang mahu hadir.
BUKAN! Tetapi kita tidak punya jiwa yang besar. Tiada keyakinan diri. Mudah menyerah sebelum berjuang. Bangkitlah! Keluarlah dari zon selesa. Masih banyak yang boleh kita lakukan, Insyaallah bermanfaat untuk diri dan masyarakat.
Dunia seni sentiasa menantikan kehadiran kita. Marilah kita bersatu dan berjuang bersama. Bukan kerana nama tapi buatlah sebagai sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.
Setiap orang memiliki potensi, bakat yang ada usah dipersia-siakan. Marilah kita sama-sama bahu membahu saling membantu ke arah kejayaan pembangunan negara bangsa yang berdaulat. Bangsa yang tidak kenal sejarah bangsa adalah bangsa yang pasti kecewa tanpa punya jiwa dan harga diri. Akhirnya kita jadikan budaya asing sebagai ikutan.
Mengapa kita tidak mengaplikasikan segala ilmu yang diperolehi setelah menamatkan pengajian? Bukankah mantan Dekan Sekolah Pengajian Seni, Hj Inon Shaharuddin pernah berpesan di seni minda dan jiwa bersatu? Jika dilihat, masih ramai yang tidak memiliki falsafah jiwa intelektual yang tinggi kerana mereka tidak melihat kepentingan pendidikan rohani untuk disebatikan dalam pengajian seni. Kita lupa lupa untuk mengingati bahawa seni adalah dakwah.
Secara umumnya kita cuma tahu makna seni itu indah, tahu erti seni itu halus. Malangnya kerana seni yang indah dan halus bukanlah sebenar-benar takrifan seni. Jika mentaliti pemikiran seni itu indah amatlah malang para pengajar dan murid seni menghabiskan berpuluh-puluh tahun masa hanya membincangkan keindahan. Jadi sesudah indah apa lagi?
Malu rasanya bergelar graduan seni andai tidak menampakkan bukti dan hasilnya. Untuk apa menggantungkan gambar konvokesyen pada dinding rumah kalau pencapaian terkini hanyalah illusi semalam ternyata hakikatnya kosong tidak bererti.
Masa bergerak pantas. Begitu cepat menukarkan pertemuan semalam menjadi satu kenangan. Lalu ke manakah menghilang semangat perjuangan yang pernah ditunjukkan dulu? Adakah hanya untuk diabadikan dalam sebuah gambar setelah menamatkan pengajian?
Di manakah Saiful Reza yang pernah merangkul Dekonis Terbaik Dekon? Terrysia, Daniel, Liza, Khaidil, Komeng yang pernah menjuarai pertandingan mencipta lagu puisi negeri Sabah dan naib johan kebangsaan?
Di manakah lepasan Sekolah Pengajian Seni? Falisah Kaharudin, Meklay, Ulik Muklis, Aris Conin, Amrina Anis, Suhaila Sulaiman Shah, Ismail Gudon, Lina Kunjak, Affendi Al-Latifi, Izzuddin, Sabih Dasemin, Esterlina Lezarus, Asbudi, Piko Kobana, Daniel, Jasman, Jeffryson, Nasyirah, Mazrona, Susana, Nisma, Joe, Zai, Rai, Tika,Evelin, Nasyrah, Magdelina, Wanda, Rachel, Pipa, Ain Jack?
Terlalu banyak untuk saya sebut di sini. Apa pun, jujur saya katakan, saya amat merindui bakat mereka semua. Barangkali mereka sudah berjaya atau bakat mereka dikorbankan oleh tangan-tangan pemegang kuasa, bahasa sastera dan budaya di negeri ini.
No comments:
Post a Comment