Mengapa kita harus bersedih untuk perkara yang tidak sepatutnya? Walhal kita masih diberi kesempatan bernafas di dunia ini. Masih mampu berbuat sesuatu yang bermanfaat. Untuk apa menangisi kehilangan kasut yang baru dibeli kerana kita masih punya sepasang kaki untuk terus berjalan, berlari malah menari.
Janganlah bersedih sehingga kita melupakan kelebihan yang masih ada pada diri.
Apakah disebabkan kesusahan yang menimpa diri kita jadi lemah dan putus asa? Kita selalu tertanya-tanya, bila semua kesempitan ini akan berakhir. Bila kesenangan akan datang dalam hidup kita. Bila keperitan ini akan pergi?
Jika kita bersedih kerana kekurangan diri, kurangnya harta kekayaan berbanding orang lain sebenarnya itu hanya merugikan malah membuatkan kita hilang keyakinan diri. Kita tidak sedar betapa ramainya orang yang ditimpa musibah, tidak punya tempat tinggal, makan dari sisa-sisa buangan, hilang upaya untuk bergerak, serta bermacam-macam keperitan lagi. Lihatlah diri kita kembali, tidakkah kita bersyukur atas kesempurnaan yang diberikan oleh Tuhan? Kesempurnaan fizikal serta mampu berfikir dengan baik, apakah itu bukan satu kelebihan?
Mahmud Al Mashri (Abu Ammar) dalam bukunya ‘Smile & Enjoy Yourlife’ menyatakan, berbahagialah, bersenanglah, jangan bersedih, tersenyumlah dan nikmati hidup anda, jalanilah kehidupan indah anda dengan penuh keredaan. Janganlah terlena daripada ketaatan kepada Allah disebabkan bala ujian daripada Tuhan semesta alam. Marilah kita merai impian dalam lapangan keputus asaan.
Apa yang kita dapat daripada kesedihan? Dapatkah kegembiraan anda yang telah hilang dikembalikan dengan bersedih? Apakah kesedihan dapat mengembalikan harta benda kita yang telah dirampas atau dicuri? Apakah kesedihan dapat menghidupkan kembali saudara kita yang telah meninggal dunia? Apakah kesedihan mampu memalingkan pandangan orang-orang yang dengki dan dendam kepada kita? Apakah kesedihan mampu mengembalikan kesihatan kita?
Jangan bersedih kerana dengan bersedih anda menginginkan waktu berhenti, waktu yang telah berlalu dapat berulang kembali. Dengan bersedih juga bererti anda berjalan ke belakang, dan mengembalikan sungai kepada mulut sungai.
Jangan bersedih sebab kesedihan itu bagaikan angin ribut yang dapat mengacaukan udara, mengubah langit yang cerah menjadi mendung dan menggugurkan bunga-bunga mekar yang ada di kebun luas.
Jangan bersedih sebab yang anda sedihkan itu bagaikan orang yang menguraikan tenunan yang sudah ditenun dengan kuat, bagaikan orang yang meniupkan kantong air yang berlubang, dan bagaikan orang yang menulis di atas air dengan jari jemarinya.
Jangan bersedih sebab usia anda yang sebenarnya adalah kebahagiaan dan waktu luang kamu. Janganlah anda mempergunakan hari-hari anda untuk bersedih, membuang waktu malam kamu untuk meratapi penderitaan dan membahagi waktu anda untuk kegelisahan.
Jangan bersedih, sesungguhnya jika harta benda anda yang tersimpan di gudang, istana yang menjulang dan kebun kamu yang hijau disertai dengan kesedihan dan rasa putus asa, maka akan semakin menambah rasa kesedihan dan penderitaan anda.
Jangan bersedih kerana kesedihan dan kekhuatiran itu sumber penyakit jiwa, pangkal daripada semua penyakit saraf,dan merupakan sesuatu yang dapat menyebabkan orang selalu berada dalam kebimbangan, keraguan serta rasa was-was.
Jangan bersedih kerana kesedihan dapat mengingatkan diri anda pada masa lalu dan menakuti anda untuk menyambut masa depan, serta dapat menghilangkan kebaikan pada hari-hari anda.
Jangan bersedih kerana kesedihan dapat membuat hati berasa tertekan, membuat wajah anda cemberut, mematikan semangat dan memusnahkan harapan anda.
Jangan bersedih sebab kesedihan dapat menimbulkan permusuhan, membuat marah teman sekerja, menjadikan orang yang dengki mencela dan dapat juga mengubah kenyataan diri anda.
Jangan bersedih sebab kesedihan melawan ketetapan, mewujudkan kebosanan untuk melakukan hal-hal yang wajib, menjadikan orang lupa dan dapat mengubah kenikmatan menjadi kesengsaraan.
Waktu akan terus berjalan. Hari akan terus berputar, tidak mungkin suatu keadaan itu akan terus berlangsung, maka janganlah bersedih. Walaupun kesulitan yang menimpa itu begitu besar, yakinlah sesungguhnya ia tidak akan terus berlangsung selamanya.
Jika hari ini anda mengalami kesulitan, maka esok hari anda akan menemui sumber kebahagiaan. Oleh itu janganlah bersedih kerana kesulitan tidak akan terus-terusan menimpa kita selamanya. Senyum dan nikmatilah hidup anda.
No comments:
Post a Comment