Sunday, 22 November 2015

'Alien Menchari Chinta' katarsis pembaca

'Alien Menchari Chinta'. Judul buku ini bukan sahaja kedengaran agak aneh malah menimbulkan bermacam pertanyaan.
Siapa Alien? Mengapa memilih Alien? Wujudkah Alien? Cinta apa yang dicari? Di mana Alien mencari cintanya? Itu antara persoalan umum yang timbul daripada segelintir pengunjung yang datang ke Restoran Burger Bakar Borneo, Alamesra sempena program Bicara Buku 'Alien Menchari Chinta' anjuran Tubal Chetak baru-baru ini.

Alien Menchari Chinta adalah karya Prof Madya Dr Ramzah Dambul atau lebih mesra dipanggil Rem yang menghimpunkan 55 puisi dan lakaran dudel yang unik.
Mengupas buku kumpulan puisi ini, Muhd Faiz Bin Muhd Noor selaku pembicara menjelaskan Alien Menchari Chinta merupakan satu metafora kehidupan sang manusia yang sering mencari-cari cinta dari awal bernafas hingga hujung denyut nadi.
Menurut graduan seni Fakulti Kebudayaan Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini, Ramzah Dambul telah membawa pembaca untuk bersama-sama mengkatarsis jiwa menerusi karyanya.
"Disulami dengan kejujuran, tidak ada ruang dalam buku ini yang nampak dibuat-buat, fake atau klise," katanya.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Faiz juga, lakaran dudel dalam buku ini adalah yang pertama seumpamanya di Sabah.
"Inilah antara kekuatan buku ini apabila ianya telah disusun dan dikonsepkan dengan baik," katanya lagi.
Buku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada tahun 2012 ini telah memenangi kategori utama Hadiah Sastera Perdana.
Rem merupakan pensyarah dan penyelidik di UMS sejak 1998 dengan gelaran ahli klimatologis, saintis yang mengkaji fenomena alam.
Bidang penyelidikan ini telah membawanya mengembara serta berhijrah sementara ke England, Taiwan serta Arab Saudi untuk beberapa projek kolaborasi antarabangsa.
Menurut Faiz lagi, pengembaraan mencari cinta tersebut ditulis dalam karya puisi oleh seorang insan yang menghabiskan separuh hidupnya dengan mengembara, hinggalah beliau menemukan cinta abadinya pada sujud sembahyang di Jeddah.
"Falsafah utama yang menunjangi buku ini ialah cinta sebagaimana beliau nyatakan, kita semua adalah alien sehinggalah kita temukan cinta abadi pada galaksi utopia yang kita definisikan sendiri," ulasnya.
Program Bicara Buku pada malam itu diserikan lagi dengan deklamasi puisi dan busking.
 FAIZ (kanan) bersama Eka Lufti selaku moderator.

FAIZ bersama penggiat sastera yang hadir.











No comments:

Post a Comment