Sunday, 22 November 2015

Penulis perlu versatil, kata Jasni Matlani

KEBOLEHAN menghasilkan karya dalam pelbagai genre penulisan memberikan kelebihan kepada seseorang penulis.
Diakui bukan mudah, namun tidak mustahil untuk dikuasai sekiranya seseorang penulis itu rajin dan mengamalkan proses pembelajaran berterusan.
Penerima SEA Write Award Jasni Matlani menjelaskan, untuk menjadi seorang penulis besar dan disegani adalah amat penting untuk menguasai pelbagai genre penulisan.
"Kenapa P.Ramlee menjadi legenda? Kalau dia menyanyi sahaja dia tidak boleh jadi legenda, tapi dia serba boleh.
"Jadi dalam bidang penulisan juga saya fikir mesti begitu. Anda mesti tahu menulis puisi, cerpen,novel, esei kritikan umum, semua kena boleh," katanya ketika berkongsi pengalaman sebagai penulis dalam program Bongkar Ilmu anjuran Tubal Chetak di Burger Bakar Borneo Alamesra baru-baru ini.
JM sedang berbicara. 
Menurutnya sebahagian besar penulis di Malaysia mendapat pengiktirafan di peringkat nasional kerana mereka melibatkan diri dalam pelbagai genre penulisan.
"Contohnya S.M Zakir,dia menulis puisi, cerpen, novel, esei kritikan dan dia menang anugerah dalam sebahagian besar bidang yang diceburinya.
"Jadi salah satu kualitinya ialah kita perlu menulis pelbagai genre sastera," katanya.
Penulis prolifik kelahiran Beaufort ini juga berkongsi aspek-aspek yang diambil kira untuk melayakkan seseorang penulis itu menerima SEA Write Award.
"Kualiti karya sudah semestinya aspek yang diambil kira dan karya-karya kita yang menang anugerah di peringkat negeri, kebangsaan juga sangat mempengaruhi.
"Kemudian karya kita yang diterjemah dan diperkatakan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa juga sangat penting.
"Karya kita mesti diperkatakan oleh tokoh-tokoh di peringkat kebangsaan, kalau boleh di peringkat Asia Tenggara," katanya.
Menurut Jasni lagi, antara kriteria lain adalah kepimpinan dalam persatuan apalagi pada tahun hadapan pemilihannya tidak lagi berdasarkan kepada genre penulisan tetapi berdasarkan ketokohan penulis.
"Walaubagaimanapun, jangan anugerah yang menjadi matlamat kerana ia akan datang sendiri kalau kita dapat menghasilkan karya yang terbaik sesuai dengan minat kita.
"Proses menulis ini proses sepanjang masa, karya kita harus ada inovasi sesuai dengan peredaran masa dari segi teknik, gaya dan sebagainya.
"Kita perlu karya yang lebih baik, karya yang alatnya sama bahasanya sama tetapi bagaimana teknik kita mengolah supaya ia lebih cantik," katanya.
Dalam program itu juga, Jasni sempat membacakan puisi 'Di Perkebunan', 'Sebelum Esok', 'Politik dan Peperangan', serta 'Ulat dan rama-rama', yang terkandung dalam kumpulan puisinya berjudul 'Dongeng Perkebunan'.
Hasyuda Abadi antara penulis yang hadir memberikan sokongan kepada program anjuran anak-anak muda itu.
Program yang dihoskan oleh Santo itu diserikan lagi dengan acara deklamasi puisi dan busking.

JM bersama sebahagian ahli Tubal Chetak

No comments:

Post a Comment