Sunday, 29 November 2015

Bahasa Melayu bahasa tertindas?


"...Tiada bangsa bertamadun yang tidak percaya kepada bahasanya sendiri. Bahasa adalah identiti, jati diri dan peribadi bangsa. Hilang bahasa bermakna hilang budaya,hilang rupa dan hilang jati diri. Sedangkan bangsa yang hilang dirinya sendiri adalah suatu kemalangan yang paling hina di sisi sejarah pembinaan tamadun dunia." 
(Widya Wassini; Pedagogi Bahasa Tertindas) 
Saya cukup tertarik dengan surat-surat Widya Wassini kepada ayahnya Dr Hussein Taha yang menyuarakan kegusarannya terhadap kedudukan bahasa Melayu terutama sekali dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Surat-surat yang terkandung dalam buku Pedagogi Bahasa Tertindas tulisan Zul Fikri Zamir ini digarap dalam bentuk kreatif dengan pemakaian watak minimals iaitu Dr Hussein Taha, anaknya Widya Wassini dan juga anak saudaranya Zulfa Ali serta ayah kepada Zulfa dan adik kepada Dr Hussein iaitu Datuk Farid Nasr.

Dinyatakan dalam buku ini, Widya yang mengikuti pengajian TESL di Manchester, London berasa terganggu dengan dasar kerajaan terhadap Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris.

Dia lantas mengutus surat kepada ayahnya, seorang dekan fakulti bahasa di sebuah universiti tempatan agar memujuk adiknya Datuk Farid, seorang ahli politik terkemuka yang diyakini mampu mempengaruhi dasar dan juga keputusan kerajaan.

Widya merasakan sistem pendidikan yang menggunapakai bahasa Inggeris hanya menguntungkan masyarakat kelas pertengahan dan tinggi disebabkan tahap penguasaan bahasa kedua tersebut yang sudah baik ditambah pula dengan aplikasi harian serta komunikasi sosial yang membantu.

Hal ini berbeza dengan masyarakat kelas bawahan, mereka terlebih dahulu terpaksa berhempas pulas untuk menguasai bahasa Inggeris sebelum mampu menguasai Sains dan Matematik pula.

Jadi menurutnya, hal ini hanya akan menerbitkan konflik di antara kelas terutama sekali yang menetap di bandar dan di kampung malah bakal meningkatkan lagi ketidakseimbangan tahap kemajuan yang mampu dicapai.
Dan kalau kita amati, kesan sistem ini bukan sahaja kepada tahap pencapaian akademik pelajar terhadap dua mata pelajaran teras ini, tetapi turut mempengaruhi pembentukan sebuah tamadun bangsa itu sendiri.

Seperti yang dinyatakan oleh Zul Fikri dalam prolognya;
"Bangsa yang maju adalah bangsa yang mampu membina tamadun bangsa itu sendiri. Pewarisan ini akan memelihara kemandirian jati diri bangsa tersebut dalam memelihara warisan milik bangsa yang seterusnya akan berkembang maju menggunakan budaya, falsafah, pemikiran dan bahasa lokal yang ternyata lebih sesuai dan berupaya menangkis peresapan kekotoran budaya lain terutamanya dari Barat.Bahasa Melayu ternyata lebih terbukti berkeupayaan menjadi alat perpaduan."
Memang diakui betapa pentingnya penguasaan bahasa kedua terutama bahasa Inggeris dalam dunia global masa kini. Saya juga merasakan tidaklah menjadi kesalahan untuk masyarakat kita menguasainya agar mampu bersaing dalam lapangan pekerjaan yang rata-ratanya mengutamakan kemahiran berbahasa ini. 
Walaubagaimanapun, janganlah sampai kita menjadi seperti kata pepatah 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran' kerana yang rugi nanti adalah bangsa itu sendiri.

Apalah gunanya kemajuan yang kita kecapi andai bahasa yang menjadi lambang ketamadunan dan keberadaban kita tidak lagi menjadi kebanggan setiap pemiliknya.

Kalau Jepun dan Rusia boleh menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa perantara malah menjadi bahasa ilmu yang utama di dunia, mengapa bahasa Melayu harus jatuh dan mengalah?

Saya fikir isunya tidak setakat penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita, tetapi juga tentang kurangnya kesedaran dalam jiwa untuk menghargai apa yang kita punyai.

Paling menyedihkan, generasi hari ini seperti buta sejarah hingga mengenteng-entengkan tamadun bangsa yang dinikmati dengan jerit perih pejuang terdahulu.

Saya memetik sekali lagi pesan Buya Hamka yang terkandung dalam buku ini untuk kita renungkan; 
"Sebagaimana terpandang hina dan terpencil dari masyarakat orang yang meninggalkan bahasa ibunya atau bahasa tanah airnya yang dengan dia lidahnya lebih sanggup menerangkan segala perasaan hatinya, lalu meminjam bahasa dan loghat orang lain semata-mata kerana hendak menjadi megah, padahal bahasa asing itu tidak diketahuinya sampai kepada dasarnya; maka lebih terpandang hina lagi manusia yang melebihi daripada kekuatan dan kesanggupannya, atau memilih yang sebenarnya bukan pakaiannya."
Sebenarnya bahasa Melayu itu milik siapa?

Pemikiran dan persoalan yang dilontarkan oleh Zul Fikri dalam buku ini wajar kita amati.

Dalam pembentukan tamadun negara bangsa yang berjaya, saya merasakan kegusaran Widya melalui surat-suratnya bukan sahaja kegusaran Zul Fikri seorang malah harus digusarkan oleh setiap warganegara ini.     

2 comments:

  1. Titanium Rod - A glass rod - The Titsanium Art
    Titanium 2019 ford edge titanium for sale Rod - A glass rod. An easy-to-use glass rod, easy to titanium watch band use and has a samsung titanium watch solid surface to fram titanium oil filter hold a good grip. Its dimensions and shapes are $59.00 · ‎In stock titanium trim hair cutter reviews

    ReplyDelete