Sunday, 29 November 2015

Hamidah berkongsi pengalaman dalam karya

Kesempatan bertemu dengan Hamidah Imam Kassam, penulis wanita dari utara Sabah baru-baru ini, agak menarik bagi saya.

Sejujurnya saya merasa begitu naif apabila tidak mengenal beliau dalam gelanggang sastera kita sehinggalah saudara Abdul Naddin Haji Shaiddin mempertemukan kami untuk saya mewawancarai serba sedikit penglibatannya dalam penulisan kreatif.

Penulis kelahiran Kota Marudu yang telah mewarnai arena sastera negeri ini khususnya dan Malaysia amnya sejak tahun 80-an lagi, lebih cenderung kepada genre cerpen dan puisi selain novel.

Dalam pertemuan itu, saya amat tertarik dengan pengalaman beliau yang pernah dituangkan ke dalam cerpennya berjudul 'Meniti Ombak'.

Saya begitu tersentuh dan kagum. Saya tertanya-tanya, dari mana datangnya keberanian serta kesanggupan beliau untuk melakukan semua itu? Pada saya, ia memang sesuatu yang luar biasa. Bukan semua orang sanggup melakukannya.

Dalam cerpen tersebut, terdapat tiga tragedi yang benar-benar membekas dalam hidupnya.

"Saya pernah tidur di atas pokok akibat terperangkap banjir kilat semasa balik dari mengajar," katanya.

Dia juga pernah tidur di kuburan neneknya dari tengahari hingga maghrib kerana tidak dapat melintas jalan disebabkan ada seekor ular sawa yang menghalang perjalanannya.

Bukan itu sahaja, malah pernah hampir lemas apabila perahu yang dinaiki karam ketika menjankan tugas mencari murid yang ponteng sekolah.

"Nasib baiklah kami hampir di pesisir pantai dan terus berenang ke sana. Kalau tidak, saya pun tidak tahu apa akan jadi,” luahnya.

Saya masih ingat pada suatu ketika di mana beliau meminta saya menghubunginya hanya untuk menceritakan pengalamannya ini. Katanya, dia tidak dapat melupakan pengalaman tersebut dan menjadi kenangan manis buat dirinya.

Misalnya, beliau sudah menderma darah sebanyak 33 kali. Ini suatu angka yang banyak terutama bagi mereka yang penakut atau alah pada jarum.Sedangkan saya sendiri juga belum pernah menderma darah kerana tidak berani.

Katanya lagi, dia sudah menawan Gunung Kinabalu sebanyak empat kali. Pengalaman ini juga masih segar dalam ingatannya. Rugi katanya sebagai orang Sabah tidak mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara itu. "Wan sudah naik gunung?" soalnya yang lebih mesra saya panggil 'babu'. Dengan perasaan malu saya mengatakan 'belum lagi bu'.


Pada saya, beliau bukan sahaja seorang penulis yang baik malah seorang guru yang cemerlang.

Tidak hairanlah kenapa beliau dianugerahkan Sijil Penghargaan Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2001 dan 2011.

"Bagi saya, itu semua pengalaman manis yang sentiasa segar dalam ingatan. Dan cerpen 'Meniti Ombak' merupakan rakaman peristiwa benar yang saya lalui walaupun tidak semuanya saya masukkan," luah penulis yang pernah memenangi Sayembara Puisi Kebangsaan pada tahun 1993 ini.




No comments:

Post a Comment